IPOH:Kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM9 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa ke-4 (PRE Fasa 4) khusus untuk meringankan beban peniaga dan penjaja kecil serta usahawan mikro di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata antara inisiatif itu ialah pengecualian sewaan gerai makan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tempoh sebulan (November 2020) yang akan memberi manfaat kepada 10,335 peniaga dan penjaja kecil di 15 PBT seluruh Perak, dengan peruntukan sebanyak RM1.63 juta.

"Ia dilaksanakan berikutan kekangan yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja kecil susulan pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kerajaan Negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM4.7 juta bagi menyalurkan bantuan one-off RM500 kepada 9,381 peniaga dan penjaja kecil.

"Ini adalah bantuan one-off kali kedua kepada para peniaga dan penjaja kecil selepas kerajaan negeri menyalurkan bantuan tunai RM500 dalam PRE Fasa 2 sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2.7 juta untuk Geran Prihatin Usahawan Perak (GeRUP) bagi membantu lebih ramai usahawan mikro yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Sebelum ini, di bawah PRE Fasa 2, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu para usahawan mikro untuk terus kekal berdaya saing.