IPOH: Perak memperkenalkan pembaharuan dalam pengurusan hartanah Bumiputera termasuk menetapkan kuota berdasarkan komposisi penduduk menggunakan data rasmi MyCensus 2020 bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih realistik, telus dan memenuhi keperluan semasa.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pendekatan baharu itu menggantikan kaedah lama menggunakan data daftar pemilih yang didapati tidak menggambarkan taburan sebenar penduduk kerana terdapat pengundi menetap di sesuatu kawasan tetapi berdaftar sebagai pengundi di lokasi lain.
Beliau berkata menerusi pendekatan itu, kadar kuota Bumiputera kini ditetapkan antara 10 hingga 50 peratus mengikut komposisi penduduk setempat, berbanding kaedah sebelum ini yang menetapkan kadar sama di semua kawasan atau sehingga sifar peratus di lokasi tertentu.
“Kita mengambil pendekatan yang lebih realistik dan praktikal dengan menggunakan data bancian penduduk di sesebuah lokasi atau kawasan.
“Dasar ini membolehkan pelaksanaan kuota dibuat mengikut realiti demografi dan keperluan setiap kawasan supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada kumpulan sasar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Aspirasi Hartanah Bumiputera Negeri Perak.
Saarani berkata pembaharuan itu turut merangkumi penguatkuasaan Prosedur Penetapan dan Pelepasan Lot Kuota Bumiputera Negeri Perak Darul Ridzuan melalui Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) Bilangan 2 Tahun 2026 yang berkuat kuasa pada 1 Jun.
“Dahulu ada ruang yang boleh dimanipulasi, sekarang kita memperkemas prosedur supaya pelepasan lot kuota Bumiputera tidak dilakukan dengan mudah selain mengambil kira realiti pasaran supaya dasar ini adil kepada kerajaan, pemaju dan pembeli.
“Pendekatan baharu ini juga mengambil kira keadaan sebenar pasaran perumahan di sesuatu kawasan, termasuk lokasi yang mempunyai permintaan rendah dalam kalangan pembeli Bumiputera, sekali gus mengelakkan pemaju menanggung kerugian akibat unit tidak dapat dipasarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri mengekalkan insentif diskaun Bumiputera sebanyak lima peratus bagi pembelian hartanah bernilai di bawah RM350,000 dan tujuh peratus bagi hartanah bernilai RM350,000 ke atas sebagai usaha berterusan memperkukuh pemilikan hartanah Bumiputera.
Beliau berkata bagi memperkasakan tadbir urus sektor hartanah, kerajaan negeri turut memperkenalkan Papan Pemuka atau Dashboard Hartanah e-Perak yang menghimpunkan data pembangunan hartanah daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
Program itu juga menyaksikan pelancaran Booklet Hartanah Bumiputera Negeri Perak yang menjadi rujukan rasmi mengandungi maklumat berkaitan prosedur, syarat, tatacara serta aliran permohonan penetapan serta pelepasan lot kuota Bumiputera bagi memudahkan urusan pemaju, agensi kerajaan dan orang ramai.
-- BERNAMA