IPOH: Selain memperkukuhkan lagi pakej pelancongan sedia ada, Perak akan memberi tumpuan untuk memperbaiki pakej pelancongan Islamik mulai tahun ini.

Serentak dengan itu, Masjid Panglima Bukit Gantang di Ipoh telah dijadikan pusat maklumat dan mini galeri untuk tujuan tersebut.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Mohammed Radzi berkata, dalam masa sama, pakej Jejak Masjid akan diperluaskan lagi dengan tambahan bilangan rumah ibadat umat Islam itu.

Kerajaan negeri juga, kata Nolee, akan meminta kerjasama daripada Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (Puhaz) mengadakan pakej-pakej domestik juga yang berunsurkan lebih kepada Islamik.

“Bukan sahaja daripada segi menepati kehendak untuk fizikal ataupun hanya untuk pelancongan tetapi lebih kepada boleh dimasukkan elemen-elemen ilmiah dan insaniah daripada segi pakej berkumpulan dan sebagainya,” kata Nolee.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama Puhaz di sini, pada Khamis.

Menurutnya, kerajaan negeri memerlukan kreativiti serta kerjasama sektor swasta untuk mempromosi lebih banyak produk pelancongan, termasuk pakej Islamik.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan one off RM2,000 kepada ahli PUHAZ bagi meringankan kewangan mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Selain itu, setiap ahli persatuan turut menerima baucer subsidi berjumlah RM4,500 bagi memperluaskan pakej mereka kepada pelancongan domestik.