KUALA LUMPUR: Peralihan tenaga negara perlu dilaksanakan secara berdisiplin bagi memastikan bekalan tenaga mencukupi dan boleh dipercayai, ekonomi kekal kompetitif serta kos dan manfaat peralihan dikongsi secara adil, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata pendekatan itu penting ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perubahan rantaian bekalan.
"Ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026 berdasarkan anggaran awal, menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun ini kepada 5.6 peratus.
"Prestasi itu menyediakan asas kukuh bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.
Menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan 70 peratus tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang menjelang 2050, dengan sasaran perantaraan 35 peratus pada 2030.
Akmal Nasrullah berkata usaha mencapai sasaran itu memerlukan pelaburan dalam penjanaan tenaga, grid, penyimpanan tenaga, teknologi dan kemahiran, selain memastikan setiap pelaburan turut memperkukuh keupayaan domestik.
Dalam aspek kecekapan tenaga, beliau berkata Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara pertama yang dilaksanakan selama 10 tahun berjaya menjimatkan 60,886 gigawatt-jam elektrik, melebihi sasaran 52,233 gigawatt-jam.
Pencapaian itu bersamaan pengurangan anggaran 35.6 juta tan karbon dioksida setara dan penjimatan kira-kira RM16.1 bilion.
Beliau berkata Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga pula menandakan perubahan penting ke arah menjadikan kecekapan tenaga sebagai amalan di seluruh ekonomi, selain menggalakkan penggunaan teknologi digital dan sistem pengurusan tenaga pintar.
Dalam memastikan peralihan tenaga kekal inklusif, pengguna domestik yang menggunakan 600 kilowatt-jam elektrik sebulan dan ke bawah terus dikecualikan daripada surcaj tarif, selaras dengan usaha kerajaan melaksanakan reformasi subsidi secara bersasar.
Akmal Nasrullah berkata penyertaan dalam sektor itu turut diperluas menerusi solar atas bumbung, model berasaskan komuniti dan mekanisme agregasi, selain pembangunan bakat dalam bidang solar, teknologi grid, penyimpanan tenaga, kecekapan tenaga, hidrogen dan industri tenaga bersih lain.
Pada masa sama, Malaysia terus memperkukuh kerjasama tenaga rentas sempadan menerusi Rangkaian Grid ASEAN dan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM).
Beliau menambah perdagangan elektrik serantau mesti mengukuhkan, bukannya melemahkan, keselamatan tenaga Malaysia, selain mewujudkan nilai kepada negara dan memastikan pengguna domestik tidak mensubsidi aktiviti eksport elektrik.
Menurutnya, Rangkaian Grid ASEAN juga perlu bergerak daripada aspirasi kepada pelaksanaan melalui peraturan yang serasi, peraturan pasaran yang telus, pengaturan komersial yang berdaya maju serta sistem yang dipercayai untuk menjejaki atribut tenaga boleh baharu.
Beliau berkata tema ISES 2026, “Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders”, perlu diterjemahkan daripada sekadar tema kepada komitmen bersama untuk bertindak.
“Malaysia bersedia untuk menerajui, bekerjasama dan bertindak ke arah masa depan tenaga yang selamat, mampu bayar, lestari dan dikongsi bersama,” katanya.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata ISES 2026 turut membuka ruang kepada kerjasama lebih mendalam dalam perdagangan tenaga rentas sempadan, pemodenan grid, penyimpanan tenaga, pembiayaan lestari, penyelidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat.