KUALA LUMPUR: Program perhimpunan sekumpulan pemuda yang turut membabitkan perarakan menggunakan simbol keagamaan telah mengundang pelbagai persepsi dan mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata tindakan berarak dengan kaedah itu adalah tidak wajar serta boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara.

"Adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Perarakan Himpit | Pemuda Pas Terengganu sedia beri kerjasama untuk disiasat

BACA: Pemuda Pas Terengganu sedia beri kerjasama siasatan perarakan bawa replika senjata

Terdahulu, video dan gambar perarakan menggunakan replika pedang, lembing dan perisai itu tular di media sosial dipercayai dianjurkan di sebuah kawasan resort di Setiu, Terengganu Jumaat lepas.

Mohd Na'im berkata semua pihak bertanggungjawab menyeru ke arah keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.

"Apa-apa tindakan yang boleh mengundang kegelisahan awam perlulah dielakkan sama sekali. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpandangan perkara ini perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta apa-apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur telah menyalahi peraturan keselamatan negara," katanya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilapor berkata pihaknya akan menyiasat program perarakan membabitkan sebuah parti politik itu bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Siasatan awal mendapati perarakan itu merupakan antara acara yang dipertanding pada program tersebut iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.

Katanya program itu disertai setiap daerah di Terengganu dan hanya satu kumpulan mengenakan pakaian serta membawa replika senjata.

Beliau berkata pihaknya tahu mengenai program itu namun tidak dimaklumkan tentang perarakan membawa replika senjata tersebut.

-- BERNAMA