KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa keadaan kerajaan pada 2013 digambarkan sebagai lemah dari segi kedudukan kewangan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, berkata, ini kerana syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu mendapatkan Surat Sokongan (LOS) untuk mengumpul dana AS$3 bilion bagi tujuan projek usaha sama dengan dengan Aabar BVI Co.

Saksi ke-26 pendakwaan itu berkata demikian semasa disoal ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan kes 1MDB, hari ini.

Katanya lagi, keadaan lemah itu turut dibuat berdasarkan penarafan hutang antarabangsa negara pada masa itu.

Wan Aizudin: Anda setuju dengan saya Datuk apa yang anda bentangkan, juga LOS adalah perlu untuk menerbitkan bon?

Siti Zauyah: Nampak sangat lah kerajaan kita lemah.

Wan Aizudin: Apa Datuk?

Siti Zauyah: Kerajaan kita lemah.

Wan Aizudin: Kerajaan kita lemah pada waktu itu atau kerajaan kita lemah sekarang?

Siti Zauyah: Pada waktu untuk mengumpul dana. Kita ada rating (penarafan).

Wan Aizudin: Boleh Datuk terangkan sikit sebab Datuk kata ada rating menunjukkan kerajaan lemah, dalam alasan apa?

Siti Zauyah: Saya tak ingat rating kita apa. Jika sekurang-kurangnya AA-, maka kita (dalam keadaan) 'bankable'. 

Sebelum ini, Siti Zauyah dalam pernyataan saksinya memberitahu bahawa ketika dilantik menjadi Setiausaha Bahagian Pasaran Kewangan Dan Aktuari (BPKA), beliau terlibat dalam menguruskan pengeluaran LOS kepada syarikat 1MDB untuk mendapatkan pinjaman berjumlah AS$3 bilion daripada pihak Goldman Sachs.

Siti Zauyah menambah, kertas cadangan untuk 1MDB mendapatkan LOS telah disediakan oleh Kementerian Kewangan dan dibentangkan di Kabinet sebelum diluluskan Jemaah Menteri.

Wan Aizuddin kemudian mempersoalkan saksi bahawa keperluan untuk mendapatkan LOS itu dinyatakan sendiri olehnya ketika menyediakan dokumen berkenaan.

Bagaimanapun, Siti Zauyah menafikan perkara tersebut.

Saksi pendakwaan itu berkata, beliau diarahkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, ketika itu, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk memasukkan perkara terbabit di dalam kertas cadangan.

Mengikut pandangan peribadinya dan Peguam Cara Perbendaharaan, Siti Zauyah berkata, pilihan yang dibuat oleh Mohd Irwan itu bukan satu pilihan yang tepat untuk kepentingan negara.

Wan Aizuddin: Anda sampaikan perkara ini kepadanya?

Siti Zauyah: Ya.

Wan Aizuddin: Dia teruskan dengan perkara itu, adakah ia mengecewakan anda?

Siti Zauyah: Itu hak dia. Kebimbangan saya adalah untuk memaklumkan dia mengenai liabiliti negara.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.