Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes saman fitnah RM30 juta Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim terhadap Utusan Malaysia dan kolumnis, Datuk Mohd Zaini Hassan kepada 8 Julai depan.

Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam S.N Nair, yang mewakili Kok bagi membolehkannya memfailkan tiga lagi pernyataan saksinya.

Mahkamah turut menetapkan 9 dan 10 Julai untuk menyambung perbicaraan kes itu.

Di awal prosiding, ahli perniagaan Kok Sow Kuen, 45, yang merupakan saksi kedua plaintif memberitahu mahkamah beliau membuat laporan polis pada 27 Sept 2008 selepas mendakwa menerima sekeping nota berbaur ugutan.

"Ketika kejadian saya berada di dalam rumah dan terdengar bunyi kaca dan apabila keluar ada sebotol kaca pecah. Apabila diperiksa terdapat beberapa butir paku dan sekeping nota yang ditinggalkan berbaur ugutan," kata adik lelaki Kok ketika pemeriksaan utama oleh Nair dalam perbicaraan kes saman itu.

Pada 9 Okt 2008, Kok, 49, memfailkan saman itu dengan mendakwa artikel bertajuk 'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya', yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 10 Sept 2008, membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, ahli politik yang jahat, bersikap perkauman dan anti-Islam.

Kok mendakwa artikel itu disiarkan semula dan diedar di seluruh Malaysia dan dunia menerusi perkhidmatan online Utusan, dan akibatnya, reputasi dan kewibawaan beliau tercemar di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa.