KUALA LUMPUR: Prosiding perbicaraan melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dijadualkan pada 6 September ini akan diteruskan seperti biasa.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah menetapkan keputusan itu selepas doktor yang merawat Ahmad Zahid menyatakan pesakitnya boleh menghadiri prosiding berkenaan.

Terdahulu, Pakar Perunding Sakit Intervensi, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Dr Mohd Shahir Anuar berkata, biasanya tempoh pemulihan adalah antara dua ke empat minggu sekiranya pesakit mengalami kecederaan tulang belakang.

Begitupun, dalam kes Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau menjangkakan tempoh pemulihan mungkin mengambil masa antara empat ke enam minggu.

Menurutnya, pesakit tidak boleh duduk statik terlalu lama, hanya 30 ke 45 minit sahaja dan kemudian perlu bangun untuk meregangkan badan dan duduk semula.

Hakim Collin: Bolehkah pesakit anda datang pada 6 September ini untuk duduk?

Dr Mohd Shahir: Saya rasa 6 September itu tempohnya sangat singkat. Saya cadangkan empat minggu.

Hakim Collin: Pesakit duduk saja dalam 30 ke 45 minit. Tidak duduk terus tapi akan bangun dan berehat, juga dengan makan ubat tahan sakit. Adakah boleh?

Dr Mohd Shahir: Kemungkinan boleh.

Hakim Collin: Adakah pesakit pulih dengan baik?

Dr Mohd Shahir: Saya akan kata, dari segi pendapat profesional, saya nasihatkan empat minggu (tempoh rehat).

Hakim Collin: Adakah pesakit mengalami komplikasi selepas rawatan?

Dr Mohd Shahir: Tidak.

Hakim Collin: Jadi pada 6 September, adakah boleh pesakit datang tapi dengan syarat tidak boleh duduk statik lebih daripada 45 minit?

Dr Mohd Shahir: Ya.

BACA: Zahid Hamidi masuk hospital, perbicaraan mungkin ditangguh

BACA: Mahkamah keluar sapina, panggil doktor perjelas keadaan Ahmad Zahid

Sementara itu, peguam kepada Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh yang ditemui di pekarangan mahkamah berkata keterangan daripada doktor mengesahkan Ahmad Zahid masuk ke hospital pada 22 Ogos lepas akibat kecederaan tulang belakang.

Tambahnya, pihaknya juga meminta mahkamah menyediakan kerusi lebih selesa kerana Ahmad Zahid tidak boleh duduk terlalu lama kerana kesakitan yang dialaminya.

"Mahkamah kata dia akan uruskan, mahkamah akan cuba sedaya upaya untuk tengok apa yang dia boleh buat, mungkin dapatkan kerusi yang lain.

"Kerusi dalam kandang tertuduh itu adalah kerusi kayu, ia tidak sesuai untuk orang yang sakit belakang," katanya kepada media.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan prosiding melibatkan Presiden UMNO itu pada Selasa ditangguhkan selepas beliau tidak dapat hadir kerana perlu menjalani prosedur pada bahagian tulang belakangnya di sebuah hospital swasta.

Ahmad Zahid mengalami kesakitan akibat terjatuh dan tidak mampu duduk terlalu lama dan dimasukkan ke wad sejak Ahad lalu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

Ia melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu ditangguh beberapa kali termasuk terbaharu tiga minggu lalu selepas pejabat seorang daripada peguamnya terdedah dengan jangkitan COVID-19.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mempersoalkan kehadiran Zahid ke Istana Negara pada 19 Ogos dan 21 Ogos lalu, iaitu sehari sebelum dia dimasukkan ke hospital.

Dalam soalannya kepada Dr Mohd Shahir, dia mendakwa kesakitan tertuduh tidak menghalangnya untuk hadir ke Istana Negara pada dua hari berkenaan.

“Saya katakan kepada kamu bahawa beliau sebenarnya berpura-pura sakit kerana beliau telah dilihat oleh semua rakyat di seluruh negara bahawa pada dasarnya beliau mampu berjalan, mampu duduk dan mampu bergerak ke Istana seperti biasa,” kata Raja Rozela.

Bagaimanapun kenyataan berkenaan tidak dipersetujui Dr Mohd Shahir yang mempertahankan bahawa sebagai doktor, dia perlu percaya kepada pesakitnya dan memastikan kesakitan yang dialami pesakitnya adalah benar, termasuk menjalankan pemeriksaan MRI dan imbasan CT.