PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual bertemu dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin pada pagi ini.

Pertemuan sebelum mesyuarat Kabinet itu dipercayai berkisar kepada kedudukan Zuraida dalam Kabinet selepas Ahli Parlimen Ampang tersebut mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan sebahagian daripada parti pemerintah, Perikatan Nasional (PN).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menuntut kedudukan Zuraida diberikan kepada parti itu kerana ia adalah kuota parti tersebut.

Katanya, jawatan menteri sememangnya menjadi sebahagian daripada kandungan perjanjian antara Ismail Sabri dengan pimpinan PN.

BACA: "Jumpa Zuraida dulu, kemudian Muhyiddin" - PM 

BACA: Menjelang pertemuan dengan PM, Zuraida harap jawatannya sebagai menteri dikekalkan 

BACA: Isu Zuraida: Harap PM utamakan perjumpaan untuk selesaikan kuota jawatan Menteri - Muhyiddin 

Ismail Sabri ketika berada di Tokyo, Jepun baru-baru dilapor berkata, Zuraida masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida menerusi kenyataannya mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain turut meletakkan jawatannya sebagai menteri.

Sebelum menyertai Bersatu, Zuraida memegang jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dipecat akibat tindakannya bersama dengan beberapa ahli Parlimen parti itu yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Langkah Sheraton.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian