KUALA LUMPUR: Kenderaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat memasuki pintu Istana Negara pada jam 10.53 pagi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada sembah menghadap bersama Yang di-Pertuan Agong kali ini akan turut membincangkan perkembangan terkini politik semasa negara termasuk pengumuman penarikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibuat oleh UMNO semalam.

Ini kerana telah menjadi kelaziman Perdana Menteri selaku ketua kerajaan untuk Menghadap Yang di-Pertuan Agong pada setiap Rabu bagi sesi Mesyuarat pra-Kabinet.

Ia merupakan rutin mingguan utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Dalam waktu tertentu sebelum ini sesi tersebut juga sering kali berlangsung secara atas talian membabitkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi sesi pra-Kabinet menerusi persidangan video.

Dinamika politik negara kembali menjadi tumpuan sejak semalam apabila UMNO mengumumkan secara rasminya UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Dalam masa yang sama Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menuntut agar Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.