KUALA BERANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor gajah jantan liar yang berkeliaran di Kampung Kolam, Ajil, dekat sini Khamis lepas.
Pengarah Perhilitan Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata gajah itu yang mempunyai ukuran tapak kaki kira-kira 38 sentimeter ditangkap oleh enam anggota Perhilitan, sebelum ditambat di lokasi sama kira-kira 5.30 petang.
Beliau berkata gajah itu akan diberi makan batang pisang sebanyak dua kali sehari oleh petugas jabatan, sebelum dipindahkan ke lokasi bersesuaian.
"Pada Khamis, pejabat Perhilitan Hulu Terengganu menerima aduan berkaitan gajah liar berkeliaran di Kampung Kolam. Pada hari sama petugas jabatan telah menjalankan operasi tangkapan dan berjaya menangkap gajah berkenaan.
"Tangkapan itu akan mengurangkan kerisauan penduduk di sekitar mengenai ancaman keselamatan oleh haiwan liar terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ten berkata pemerhatian awal mendapati gajah itu dalam keadaan stabil dan sihat, namun pemantauan berterusan akan dijalankan sehingga operasi pemindahan dilaksanakan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mendekati kawasan tersebut bagi mengelak bunyi bising yang akan memberi tekanan kepada gajah.
-- BERNAMA