Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yakin Perhimpunan Agung UMNO bulan depan tidak menjadi gelanggang untuk melepaskan geram mencerca pucuk pimpinan parti.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menjelaskan, sebarang khabar angin dibuat oleh pihak tertentu semata-mata mahu melihat sesama pemimpin UMNO bertelagah sesama sendiri.

"Saya tidak fikir sampai seperti itu sekali kerana ahli-ahli UMNO masih ada budi pekerti, berhemah dan menghormati pemimpin.

"Saya yakin perhimpunan pada 8 hingga 12 Disember ini akan berjalan lancar dan dalam suasana kekeluargaan.

"Memang ada rasa tak puas hati, kecewa dan marah bersabit beberapa isu, tetapi saya yakin perhimpunan bulan depan bukan gelanggang mencaci dan menghina sesama pemimpin," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my.

Dalam pada itu jelas Syed Ali, ahli-ahli UMNO sudah cukup matang dan mampu menangani permasalahan parti secara terbuka dan bertanggungjawab.

"Perwakilan tidak akan melakukan sesuatu sehingga merosakkan parti dan meruntuhkan semangat perpaduan yang sudah terjalin sejak sekian lama.

"Mereka (perwakilan) membawa amanah daripada bahagian dan negeri, tugas mereka untuk menyempurnakan harapan itu ke perhimpunan agung sebaik mungkin demi kepentingan parti dan rakyat," jelasnya.

Syed Ali bagaimanapun tidak menolak perhimpunan kali ini akan menjadi tumpuan pelbagai pihak dan bakal dihadiri oleh ribuan ahli-ahli parti.

"Mungkin ramai ahli parti yang akan hadir kali ini untuk mendengar amanat dan penjelasan daripada pemimpin berkait dengan beberapa isu semasa.

"Ini satu perkembangan positif yang menandakan UMNO semakin matang dan bijak menguruskan hala tuju perjuangan demi kepentingan masa depan orang Melayu," ujarnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menambah, perwakilan yang bakal hadir ke perhimpunan tersebut memikul kepercayaan dan amanah parti.

"Maka, seandainya ada dakwaan sesetengah pihak kononnya Perhimpunan Agung UMNO kali akan berlangsung dalam keadaan 'luar biasa' adalah tidak berasas sama sekali," katanya.

Tambahnya, UMNO juga tidak pernah mempunyai sebarang kem tertentu sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan ahli.

"Semuanya serangan persepsi untuk menghancurkan UMNO. Setiap pemimpin termasuk ahli yang sayangkan UMNO tidak akan melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan parti.

"Kalau kita sayangkan UMNO, pastinya kita tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menjahanamkan masa depan parti kerana kesannya akan terpikul kepada orang Melayu," tegasnya.