Masuk sahaja 16 September 2015 esok, genaplah 52 tahun Malaysia menjadi Malaysia. Dalam tidak sedar, telah lebih separuh dekad negara Persekutuan ini terbentuk hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Jauh daripada kebetulan, esok juga merupakan “Himpunan Baju Merah” yang berhasrat mengumpulkan segenap orang Melayu untuk ke Kuala Lumpur atas nama “perpaduan Melayu”.

PERLU BACA: Lima fakta Himpunan Rakyat Bersatu 16 Sept ini

Tidak ramai mana Melayu menyertai Bersih 4 tempoh hari dan seolah-olah dirancang lebih kurang dua minggu kemudian, perhimpunan yang mahu mengumpul orang Melayu pula diadakan.

Secara peribadi, malah mengikut undang-undang juga, saya tiada masalah dengan perhimpunan yang bakal diadakan sebagaimana saya tiada masalah dengan Bersih tempoh hari.

Tetapi apa yang lebih mendukacitakan ialah mesej-mesej yang dibawa menjelang perhimpunan tersebut; mesej-mesej defensif Melayu yang menyalahkan kaum lain atas kelemahan ekonomi dan status sosial.

Mesej-mesej menghasut, seolah-olah ada suatu kaum yang mahu membatalkan dominasi Melayu-Islam di Malaysia ini.

Apa yang lebih penting sebenarnya ialah Melayu perlu pandai membezakan pihak Melayu yang benar-benar mahu membantu golongan Melayu, dengan pihak yang hanya memperguna sentimen Melayu untuk kekal berkuasa.

Ya, saya bukan anti Melayu. Malah saya bangga menjadi Melayu. Jika punya anak nanti, saya ingin menamakan anak saya dengan nama-nama seperti “Tuah” dan “Melati” berbanding nama-nama Arab.

Saya juga lebih gemar memakai baju Melayu pada Hari Raya berbanding jubah (walaupun saya tiada masalah orang berjubah). Tetapi ini tidak bermaksud saya suka diperbodohkan berterusan.

Banyak sebenarnya agensi yang memang benar-benar mahu membantu Melayu tanpa mempermainkan sentimen. Antaranya ialah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM).

Mereka benar-benar melakukan usaha untuk mengurangkan jurang ekonomi yang menjadi faktor penting perpaduan nasional.

Akhir sekali, buat semua Melayu, jika ingin sertai perhimpunan esok, silakan. Hak anda sebagai rakyat dalam negara demokrasi ini terjamin malah Ketua Polis pun kata tiada masalah.

Tapi dalam kita mengata orang Melayu dipergunakan, jangan pula lupa tanya diri sendiri, “Adakah aku diperguna juga?”

VIDEO: Jerebu boleh sebabkan kematian peserta perhimpunan

VIDEO: Hari Malaysia: Wujudkan detik-detik perpaduan

*Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.