RAMADAN merupakan bulan paling istimewa bagi umat Islam, memandangkan ia adalah bulan kitab suci Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad (SAW) pada malam Lailatul Qadar iaitu salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadan.

Berikut beberapa perkara menarik mengenai amalan bulan Ramadan di Malaysia .

Bagaimanakah tarikh permulaan puasa ditentukan?

Secara tradisinya, permulaan Ramadan, bulan kesembilan dalam kalendar umat Islam, ditentukan oleh anak bulan yang dicerap oleh Unit Falak, dengan bantuan pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan di beberapa pusat cerapan di seluruh negara.

Pengiraan astronomi (hisab) digunakan untuk melihat bulan (rukyah) bagi menentukan hari pertama bulan puasa.

Anak bulan boleh dilihat pada hari rukyah (kebolehnampakan) yang ditetapkan setiap 29 hari bulan hijrah pada waktu matahari belum terbenam.

Bazar Ramadan

Bazar Ramadan cukup sinonim bagi kalangan umat Islam khususnya dan seluruh rakyat Malaysia umumnya setiap kali hadirnya bulan puasa.

Setiap kali muncul bulan puasa, maka dengan mudah kita akan mendengar kemunculan bazar Ramadan di seluruh pelosok negara.

Golongan peniaga termasuk mereka yang pertama kali berniaga akan mengambil peluang menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa di Bazar Ramadan.

Di bazar Ramadan juga, kita berpeluang mendapatkan pelbagai jenis hidangan untuk berbuka puasa yang dijual.

Sebut sahaja apa yang mahu dimakan, cari saja di bazar Ramadan, yang penting pastikan dompet anda ada duit!

Bazar Ramadan juga tentu sekali menjadi pilihan golongan yang bekerja dan tidak sempat untuk pulang ke rumah menyediakan juadah.

Lazimnya, bazar-bazar ini memulakan operasi perniagaan pukul 3 petang dan berakhir selepas waktu berbuka puasa.

Solat Tarawih

Di Malaysia, umumnya kita melihat ada surau dan masjid yang mendirikan sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.

Solat sunat Tarawih boleh dikerjakan sama ada secara berseorangan mahupun berjemaah di masjid, surau, atau di rumah.



Cuti hari pertama Ramadan

Tarikh 1 Ramadan adalah cuti umum bagi negeri Johor, Kedah dan Melaka.

Bubur lambuk

Hidangan bubur lambuk disifatkan menu yang ditunggu semua kaum di negara ini terutama pada bulan Ramadan.

Kebiasaannya bubur ini dimasak secara gotong-royong di masjid, sebelum diagihkan kepada orang ramai.

Bubur lambuk yang paling popular ialah Bubur Lambuk Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Setiap hari, Masjid Kampung Baru akan memasak kira-kira 20 periuk besar bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.