Satu lagi kawasan telah dikenalpasti untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), iaitu di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan pengesahan 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Beliau berkata, tujuan PKPD dilaksanakan di kawasan tersebut adalah bagi membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tesebut, serta membolehkan aktiviti pengesanan kes rumah ke rumah dilaksanakan dalam tempoh 14 hari.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah. Ini termasuk tujuh (7) kampung iaitu dua (2) perkampungan Orang Asli dan lima (5) perkampungan Melayu.

“Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 30 Mac 2020 hingga 13 April 2020,” katanya lagi.

BACA: Ini senarai 13 Zon Merah COVID-19 di Malaysia - KKM

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD, Ismail Sabri berkata, semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan itu tidak dibenarkan keluar rumah, manakala orang luar tidak langsung dibenarkan masuk ke kawasan yang diwartakan.

Selain itu, beliau berkata, kesemua jalan keluar dan masuk ke kawasan berkenaan akan ditutup, dan kesemua aktiviti perniagaan dihentikan.

Ismail Sabri berkata, makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-89114200.