MALAYSIA
Perintah Khidmat Masyarakat bagi kesalahan buang sampah berkuat kuasa Januari 2026

Hukuman bertujuan mendidik dan memberi keinsafan agar lebih peka terhadap kebersihan serta mencegah pencemaran dan penyakit bawaan vektor melalui aktiviti seperti mengutip sampah, mencuci longkang dan tandas awam. - Gambar hiasan
PORT DICKSON: Perintah Khidmat Masyarakat tidak melebihi 12 jam dalam tempoh enam bulan terhadap pesalah bagi kes pembuangan sampah kecil akan berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Ringkasan AI
- Perintah Khidmat Masyarakat tidak melebihi 12 jam dalam tempoh enam bulan akan dikenakan terhadap pesalah kes pembuangan sampah kecil mulai 1 Januari 2026, bergantung kepada keputusan Mahkamah Majistret.
- Hukuman bertujuan mendidik dan memberi keinsafan agar lebih peka terhadap kebersihan serta mencegah pencemaran dan penyakit bawaan vektor melalui aktiviti seperti mengutip sampah, mencuci longkang dan tandas awam.
- Pelaksanaan diumumkan sempena Hari Cuci Malaysia yang disertai lebih 100,000 peserta dan menyasarkan kutipan minyak masak terpakai sebanyak 3,000kg sehari, selain KPKT menerima pengiktirafan Global Zero Waste Foundation United Nations.
"Sesiapa membuang sampah dari kereta, membuang puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman atau pembungkus makanan di tempat awam akan didenda memakai jaket khas serta mengutip sampah kecil di tempat awam, mencuci longkang serta mencuci tandas awam selama tempoh tersebut.
"Pendekatan ini bukan sahaja bersifat korektif malah membawa nilai insaniah yang tinggi dengan mendedahkan pesalah secara langsung kepada kesan perbuatan mereka terhadap alam sekitar," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Cuci Malaysia (HCM) Peringkat Kebangsaan sempena World Clean-up Day 2025.
Mengulas lanjut, Nga berkata Korea Selatan, Sweden, Singapura dan Jepun, antara negara yang berjaya melaksanakan pendekatan serupa sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam mendidik rakyat, menunjukkan rakyat Malaysia juga mampu mempraktikkan dengan lebih baik.
Media sebelum ini melaporkan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, RUU Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 serta RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025.
Dalam pada itu, beliau berkata lebih 100,000 peserta terlibat dalam gotong-royong yang diadakan serentak di seluruh negara bersempena program hari ini yang turut menyasarkan pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak, sekurang-kurangnya 3,000 kilogram sehari dalam usaha mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR).
Nga berkata objektif program tersebut antara lain untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kebersihan, kitar semula dan penjagaan alam sekitar, menggalakkan penyertaan menyeluruh merangkumi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti, institusi pendidikan dan individu.
Beliau berkata HCM bukan sekadar inisiatif pembersihan, sebaliknya menjadi simbol nilai teras Malaysia MADANI yang menekan aspek kemampanan, kesejahteraan rakyat dan perpaduan masyarakat majmuk.
"HCM merupakan inisiatif tahunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan menetapkan Sabtu terakhir September setiap tahun sebagai Hari Cuci Malaysia peringkat kebangsaan dan menjadikan ia agenda tetap negara," katanya
Dalam pada itu, Nga turut memaklumkan KPKT dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pemenang anugerah Global Zero Waste Foundation United Nations yang merupakan satu pengiktirafan kepada negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami