KUALA LUMPUR: Penerbit, Gayatri Su-lin Pillai tidak ketinggalan untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pesalah cetak rompak yang tidak serik-serik menganiaya pengusaha sektor perfileman atau penerbitan.

Menurut Gayatri, yang lebih mesra disapa Gaya, pihaknya cukup terasa dengan impak cetak rompak, kerana tidak banyak saluran di Malaysia yang boleh menjual produk mereka.

“Kami di bidang penerbitan terasa dengan impak cetak rompak, kerana kami tidak mempunyai banyak saluran di Malaysia untuk menjual produk kami.

“Setiap seorang yang menonton filem atau produk kami di saluran yang betul akan menjanakan pendapatan buat kami.

“Pendapatan itu adalah untuk kami laburkan dalam produk yang akan datang. Pelaburan ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada ramai orang, dan juga dapat menyumbang kepada GDP negara ini,” jelas Gaya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Perisian tidak sah: Seniman dan PFM cadang hukuman lebih berat 

BACA: Astro akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung cetak rompak 

Gaya yang sebelum ini telah menerbitkan beberapa filem popular seperti Hantu Kak Limah, Zombi Kampung Pisang dan KL Menjerit turut menegaskan, semua pihak perlu memainkan peranan penting banteras kegiatan tersebut.

“Pada asasnya, ini melanggar hak cipta kami dan jika tidak dihentikan, ia boleh memusnahkan industri kita yang sudah ada pelbagai cabaran.

“Saya rasa kita perlukan satu strategi yang kukuh untuk berlawan dengan isu kotak android dan cetak rompak secara keseluruhan.

“Ia memerlukan agensi kerajaan yang berlainan, seperti Polis Diraja Malayasia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP), bekerjasama dengan industri perfileman untuk mencari solusi terbaik.

“Perlu ambil tindakan undang-undang yang sewajarnya, untuk sesiapa yang melanggar hak cipta tidak kira hak cipta individu ataupun syarikat penyiaran besar seperti Astro contohnya," tambahnya.



Kecurian hakcipta | Kempen banteras kecurian hakcipta perlu diperbaharui?

BACA: Pengarah syarikat didenda RM30,000 miliki kotak media iBoite-X secara haram 


Gayatri berkata demikian ketika mengulas kegiatan pihak tertentu yang menjalakan urus niaga kotak media dengan perisian tidak sah.

Pada Selasa, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah memiliki enam kotak media yang mempunyai perisian tidak sah mengikut Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.