Pesawat itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi Jumaat dan disambut dengan satu istiadat penuh ketenteraan sebagai tanda penghormatan.
Semua jenazah itu pada Rabu dipindahkan dari Rumah Mayat Monuta Ineeme, S-Gravanhage untuk dibawa ke sebuah rumah penyimpanan mayat dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol untuk persediaan dibawa pulang ke Malaysia.
Kenderaan jenazah Muslim mangsa MH17 dibawa keluar dari Rumah Mayat Monuta Ineeme, S-Gravanhage menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol. - Foto BERNAMA
"Tujuan proses pemindahan ini bagi memudah dan melicinkan proses memuat masuk jenazah," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong seperti dipetik oleh Bernama.
Tujuh belas jenazah akan diletakkan dalam keranda manakala tiga jenazah yang telah dibakar ditempatkan dalam bekas abu.
Kumpulan pertama jenazah yang akan dibawa pulang dari Amsterdam itu melibatkan 11 orang beragama Islam dan sembilan orang bukan Islam. - Foto BERNAMA
SENARAI NAMA JENAZAH DIBAWA PULANG JUMAAT.
Sempena Hari Berkabung Malaysia di seluruh negara pada Jumaat, bendera akan dikibarkan separuh tiang manakala seluruh rakyat berbilang kaum dan agama digalakkan berpakaian berwarna gelap.
Fasa kedua selepas Istiadat Penghormatan 20 Jenazah Pertama Tragedi MH17 akan diadakan tidak lama lagi, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata lapan lagi jenazah warga negara Malaysia yang sudah dikenal pasti tetapi masih berada di Amsterdam kerana perlu melalui proses tertentu, akan diusahakan dibawa pulang secara berperingkat-peringkat bermula Ahad ini.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal ditembak jatuhdi timur Ukraine pada 17 Julai lalu semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Selain 43 warga Malaysia, pesawat itu turut membawa warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.