KUALA LUMPUR: Pandangan beberapa pihak bahawa sidang Parlimen perlu dipanggil dalam tempoh enam bulan selepas tarikh terakhir sesi, tidak terpakai sepanjang tempoh Proklamasi Darurat, kata Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Beliau berkata, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan dengan sendirinya tergantung apabila Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Namun, jelas Nik Ahmad Kamal lagi, Ordinan Darurat itu tidak menyebut mengenai penggantungan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

“Apabila Darurat diisytiharkan, dan kemudian Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 diluluskan Agong, maka dengan sendirinya Perkara 55 itu tergantung, dan tidak boleh terpakai.

“Jadi isu enam bulan dari sidang terakhir Parlimen juga tidak terpakai. Dan ini dinyatakan dalam Ordinan Darurat itu sendiri dari segi Perkara 55 dan sebagainya,” katanya dihubungi Astro AWANI hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam kenyataannya berkata, Parlimen perlu bersidang dalam tempoh enam bulan selepas kali terakhir ia bersidang.

Tegas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu lagi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh menasihati Agong untuk melanggar Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah melanggar perlembagaan dan sumpah jawatan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan berbunyi: - “Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya”.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tan Sri Noh Omar pula berpandangan, Agong berhak memanggil Parlimen untuk bersidang, tanpa perlu merujuk kepada nasihat Perdana Menteri.

BACA: YDP Agong berhak arah Parlimen bersidang - Noh Omar

BACA: Jadi, bilakah Parlimen akan bersidang?

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, apabila Ordinan Darurat berkuat-kuasa, maka ia mengatasi Perlembagaan Persekutuan, sekali gus membolehkan Agong bertindak tanpa perlu mengikuti Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

"Saya setuju dengan pandangan Ku Li (Tengku Razaleigh). Kalau Perlembagaan masih kuat kuasa, Artikel 55 mesti terpakai .. tetapi bila ada Ordinan Darurat maka Ordinan Darurat mengatasi perlembagaan maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan parlimen bersidang tanpa nasihat perdana menteri.

"Kalau Artikel 55 tidak terpakai maka Artikel 40 juga tidak terpakai. Ringkasnya Ordinan Darurat yang dibuat menurut Artikel 150 (2C) Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu Undang-Undang Persekutuan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan berbunyi: - “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri,

“.. kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri”.

Perkara 40 (1A) pula menyatakan: - “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu”.

Mengulas mengenai perkara itu, Nik Ahmad Kamal berkata, Seksyen 14 (b) Ordinan Darurat jelas memperuntukkan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog, dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan Yang di-Pertuan Agong,

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan amalan yang dilakukan di Malaysia, Ketua Majlis atau Perdana Menteri akan nasihat Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

“Dalam konteks Darurat juga, perkara sama berlaku kerana Ordinan Darurat tidak mengganttung Perkara 40 yang mengatakan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

“Jadi saya tidak lihat ada perubahan dalam amalan tersebut, walaupun dikehendaki sidang Parlimen, atau diminta Yang di-Pertuan Agong, tapi dalam konteks amalan Perlembagaan atau konvensyen,  mestilah dengan nasihat Perdana Menteri,” jelasnya lagi.