Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak dan merayu supaya kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 kerana ia menjadi benteng utama untuk menjamin keselamatan negara.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kerajaan sepatutnya menambah baik lagi akta tersebut supaya ia lebih menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akhirnya telah banyak memberi kesan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

Beliau berkata, rata-rata mesyuarat perwakilan Umno sendiri telah mendesak kerajaan supaya mengekalkan Akta Hasutan di samping mengembalikan semula ISA.

"Oleh kerana prinsip asas diberi jaminan tidak akan disentuh dan tidak akan diubah, maka Perkasa berpendapat, apa perlunya menggubal undang-undang baru.

"Yang pentingnya ialah memperkukuhkan undang-undang yang sedia ada dengan membuat penambahbaikan. Ini lagi mudah supaya rakyat tidak keliru ataupun dikelirukan dan saya ingin menarik perhatian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga kerajaan Malaysia, tinjauan yang dibuat oleh Perkasa rata-rata bahawa rakyat mahu dikekalkan Akta Hasutan 1948 dengan penambahbaikan yang saya katakan tadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Perkasa negeri Perak di Ipoh pada Sabtu.

Ibrahim berkata, Perkasa akan menjalankan gerakan di seluruh negara untuk mengutip tanda tangan rakyat yang mahukan akta hasutan dikekalkan.