Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji secara menyeluruh mengenai pengambilan dan ganti semula tanah rizab Melayu di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali menjelaskan, kajian menyeluruh itu perlu dilakukan memandangkan sehingga kini, tiada pendedahan secara rasmi yang terbaharu dibuat kerajaan berhubung isu berkenaan.

"Jika tanah ini diambil, untuk apa tujuan mengikut keperluan dan kehendak kerajaan, tanah ini mestilah diganti sama saiz dan nilai dengan tanah tersebut yang diambil. Sehingga hari ini sejak Merdeka 1957, kalau ikut rekod, ada 3 juta hektar tanah yang digazet sebagai tanah rizab tetapi mengikut statistik pada 1995, tanah rizab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar," katanya kepada Astro AWANI di Ibu Pejabat Perkasa di sini hari ini.

BACA: Selamatkan rizab Melayu sebelum terlambat - Abdul Aziz

Beliau juga berharap penubuhan jawatankuasa khas itu diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober ini.

"Jawatankuasa ini bukan sahaja akan menyediakan laporan, tetapi juga untuk kerajaan sediakan dan mengeluarkan kertas putih mengenai kedudukan tanah rizab Melayu," tegas beliau.

Menurut Ibrahim, beliau sudah beberapa kali membawa isu itu ke Parlimen, namun gagal mendapat angka rasmi mengenai pengambilan dan ganti semula tanah rizab Melayu.

"Saya pernah ungkit perkara ini di parlimen untuk mendapat statistik yang sebenar mengenai kedudukan tanah rizab Melayu, jumlah yang telah diambil, yang telah diganti, dan berapa jumlah yang belum diganti. Namun tidak dijawab sepenuhnya kerajaan," jelasnya.

Ibrahim pada masa sama, menggesa orang Melayu agar membuka mata dan bangun bersuara meperjuangkan tanah rizab Melayu demi survival pribumi pasca 2020.