KUALA LUMPUR: Syor yang diajukan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem & Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) tahun lalu tersekat kemajuannya susulan pertukaran kerajaan, di samping penularan pandemik COVID-19.

Perkembangan terakhir mengenai tindakan susulan daripada syor tersebut adalah persetujuan kerajaan terdahulu untuk membentuk jawatankuasa khas kabinet dengan seorang menteri kanan sebagai ketuanya.

Demikian didedahkan bekas pengerusi ERC Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman kepada Astro AWANI dalam program Agenda AWANI semalam. 

“Saya ada berjumpa dengan Datuk Takiyuddin Hassan (bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang) dan itulah yang diucapkan beliau.

“Saya sudah berjumpa juga dengan menteri yang berkenaan dan memang beliau mengakui, mungkin pada ketika itu secara lisan beliau telah diberi tugas oleh Perdana Menteri pada masa itu berbincang dengan pihak kami bagaimana urusan-urusan untuk melaksanakan pelbagai rekomendasi yang dibuat oleh ERC ini dapat diatur supaya dilaksanakan sebrapa segera yang boleh,” katanya.

Namun, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berdepan krisis keabsahan dan menyaksikan ia terbubar sebelum Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Di bawah pentadbiran baharu dengan kabinet baharu ini, Ab Rashid belum lagi mendapat sebarang maklumat tentang perkembangan syor yang dibuat oleh pasukannya itu, berkenaan siapa, di mana dan bagaimana ia dapat diteruskan.

“Selepas itu, banyak berlaku masalah politik dalam kerajaan dan banyak tumpuan diberikan kepada masalah COVID-19 dan masalah ekonomi.

“Jadi, nampaknya perkara ini terdiam. Lepas itu, apabila berlaku perubahan sekali lagi ini, saya tidak tahu menteri berkenaan itu masih terlantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas kabinet ini atau tidak,” jelas beliau.

BACA: ERC yakin kerajaan terima semua syor reformasi pilihan raya

BACA: Reformasi pilihan raya: 15 perkara utama perlu diperbaiki - Ab Rashid 

Dalam laporan bertarikh 18 Dis 2020, Ab Rashid memberitahu bahawa beliau dimaklumkan yang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut untuk mengkaji syor ERC itu secara mendalam dan akan menubuhkan sebuah badan untuk memprosesnya.

Beliau berharap supaya dapat mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan untuk membincangkan semula hal ini, juga mahu melibatkan sama blok pembangkang bagi menjayakan usaha mereformasi sistem pilihan raya negara ini.

“Saya bagi peluang dahulu kepada kerajaan, bagi mereka tenang dahulu sebelum saya hendak masuk berbincang.

“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan sistem pilihan raya yang telus, adil, bebas dan bertaraf antarabangsa, setaraf dengan negara-negara maju yang lain,” tambahnya.

Ab Rashid menjadi tetamu program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Selasa. Tonton di sini:

Perkembangan syor ERC: Tersekat kerana COVID-19 dan pertukaran kerajaan