PUTRAJAYA: Tindakan BJAK Sdn Bhd (BJAK) menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai adalah tidak diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

JPJ dalam satu kenyataannya berkata, tindakan BJAK menguar-uarkan iklan syarikat itu melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial adalah tidak benar.

Menurutnya, JPJ memandang serius tindakan BJAK yang menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai.

Katanya, pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

"Pihak JPJ ingin memaklumkan bahawa terdapat kenyataan yang telah dipaparkan oleh pihak BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu Pembaharuan 'roadtax' secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

"Pihak jabatan juga telah menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini," kata kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, BJAK mengiklankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam termasuk program pemberian cukai jalan secara percuma.

Tegas kenyataan itu, pihak JPJ tidak mempunyai integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK.

Dalam masa yang sama, katanya, JPJ menerima aduan ketidakpuasan hati orang ramai yang mana perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak jabatan menegaskan pihak MOT atau JPJ tidak pernah meluluskan sebarang pengenaan caj tambahan yang pada masa ini dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.

Katanya, orang ramai digalakkan melakukan urusan memperbaharui cukai jalan melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ iaitu Pos Malaysia, MyEG serta PUSPAKOM sahaja.

"Pihak jabatan sekali lagi ingin menegaskan pengoperasian yang dilakukan oleh BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran pihak JPJ.

"Justeru orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah.

"Ini bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian, oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut," ujarnya.

Tambahnya, JPJ sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutama pelanggan JPJ sentiasa terpelihara.

Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi portal aduan rasmi JPJ di https://jpj.spab.gov.my/.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian