LABUAN: Perlawanan futsal Liga Sukan Komuniti anjuran Jabatan Belia dan Sukan yang berlangsung Gelanggang Futsal, Jalan Tanjung Purun, di sini semalam, kecoh apabila pemain dan penyokong kedua-dua pasukan terlibat dalam pergaduhan.

Pergaduhan yang berlarutan kira-kira setengah jam dan tular di sosial media itu, menyebabkan kecederaan dan 18 individu berusia antara 17 dan 32 tahun ditahan.

Insiden berlaku pada 1 tengah hari selepas ketegangan yang tercetus antara kedua pasukan memuncak hingga melibatkan serangan fizikal seperti tumbukan, sepakan dan melontar objek.

Seorang pemain cedera di kepala ketika pergelutan yang memburukkan lagi keadaan ketika itu.

Timbalan Ketua Polis Labuan Robin@Ridzuan Ismail mengesahkan kejadian itu dan pihak polis telah mengambil tindakan pantas.

"Kita telah menyaksikan rakaman video berdurasi 22 saat yang menunjukan pergaduhan itu dan individu terlibat dalam pergaduhan tersebut ditahan pada hari yang sama. Mereka direman tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya polis meminta saksi pergaduhan agar tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

--BERNAMA