KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis wanita yang videonya tular baru-baru ini kerana mengeluarkan kata-kata kurang sopan serta menghina anggota bawahan pasukan itu telah digantung tugas sejak minggu lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua kertas siasatan juga sudah dibuka di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. 

Menurutnya, kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas pada 19 Jun lepas.

BACA: Buat kecoh, PDRM buka kertas siasatan libat pegawai polis wanita

Tambah beliau, Jabatan Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah membuka enam siasatan tatatertib kepada individu tersebut.

“Dengan kenyataan ini, masyarakat khasnya akan mendapat tahu bahawa pihak polis mempunyai kaedah dan mekanisme jelas untuk menghadapi perilaku yang sebegini.

“Perilaku sebegini boleh menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat, boleh juga beri sedikit sebanyak persepsi terhadap pasukan polis.

“Kita biarkan pasukan polis guna pakai undang-undang berkaitan dan gunakan saluran dalaman seperti Jabatan Integriti untuk menguruskan,” katanya.

BACA: Hina lans koperal: Pegawai polis wanita ditahan di Gombak

Ketika ditanya tempoh penggantungan tugas untuk anggota itu, beliau menyatakan ia bergantung kepada hasil siasatan dan jika dituduh di mahkamah, anggota itu akan terus digantung kerja sehingga disabitkan kesalahan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara Dan Timbalan Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur pada Rabu.

Astro AWANI pada 18 Jun lepas melaporkan polis mengesahkan telah menahan seorang anggota polis wanita yang tular sebelum ini mengeluarkan kata-kata kurang sopan serta menghina anggota bawahan pasukan itu.

BACA: 'Kau lans koperal tak layak cakap dengan aku'

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, penjawat awam itu telah ditahan pada jam 1.20 tengah hari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Dalam rakaman yang tular sebelum ini, suspek dilaporkan telah meninggikan suara dengan mengatakan seorang anggota polis tidak layak menegurnya selain merendahkan jawatannya sebagai lans koperal.

Dalam pada itu, tular satu lagi rakaman video didakwa membabitkan pegawai polis yang sama, dalam kejadian pertengkaran berbeza di lokasi lain.