KUALA LUMPUR : Perlis bakal beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (MKN) setelah berjaya mencapai tiga nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man, perkara itu telah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
 
"Ini bermakna banyak aktiviti harian dan operasi perniagaan tertentu yang boleh dibenarkan. Salah satunya ialah kebenaran untuk makan di restoran, kedai atau gerai makan. Bagaimanapun ada syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang wajib dipatuhi.

"Apapun, tunggu pengumuman rasmi dari pihak MKN berhubung perkara ini dan perincian SOP yang akan diguna pakai semasa Fasa 3 ini," kata beliau dalam perkongsian di laman Facebooknya, hari ini.

 
Sumber Facebook azlan.man.16

Beliau dalam masa yang sama turut mengingatkan, meskipun negeri itu bakal beralih ke Fasa 3 PPN, orang ramai harus kekal mematuhi SOP dengan penuh berdisiplin pada setiap masa.

Pada 26 Julai lepas, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof dilaporkan berkata, Perlis bakal memasuki Fasa Tiga dalam masa terdekat, ekoran kadar suntikan vaksin penduduk semakin meningkat.


Portal Pelan Pemulihan Negara dilancarkan

Selain itu beliau berkata, individu berusia 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksin di negeri sudah melebih 37.7 peratus.

Buat masa kini, selain Perlis, negeri-negeri yang sudah berada dalam Fasa Dua PPN ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak.