Skip to main content

Malaysia

Perlis promosi Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 di Melbourne

Raja Muda Perlis... kredit Foto Ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kanan) berkenan menyempurnakan majlis simbolik Pra-Pelancaran Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Roti Bar, 416-418 Little Collins Street, Melbourne, Victoria, Australia baru-baru ini. Bersama baginda ialah Syed Sirajuddin Areeb (dua dari kiri) serta pemilik restoran berkenaan, Chef Ray Ulaganathan (kanan) dan Julin Tan.- Gambar Yayasan Tuanku Syed Putra, Perlis
Advertisement

MELBOURNE: Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 yang bakal berlangsung pada 4 hingga 6 September depan dijangka menjadi platform penting dalam mengangkat Kuala Perlis sebagai destinasi pelancongan pesisir air yang unik, selain mempromosikan warisan maritim, budaya dan kehidupan masyarakat pesisir negeri itu ke peringkat antarabangsa.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penganjuran pesta tahunan berkenaan bukan sahaja meraikan tradisi maritim dan kehidupan masyarakat pesisir, malah mampu mengukuhkan kedudukan Kuala Perlis sebagai antara destinasi pelancongan utama di negeri itu.

Menurut baginda, pesta tersebut turut membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan produk budaya, makanan, kraftangan dan hasil tempatan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara, khususnya dari selatan Thailand, sekali gus memperkasa sektor pelancongan serta ekonomi setempat.

Antara acara utama yang bakal memeriahkan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 ialah Pertandingan Perahu Naga dan Perahu Tradisional, acara sukan rakyat pesisir, pesta gastronomi serta ekspo kraf tempatan yang menggabungkan elemen warisan, sukan, seni dan budaya masyarakat tempatan.

Titah baginda itu dimaklumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sempena majlis Pra-Pelancaran Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Roti Bar, Melbourne, Victoria, Australia baru-baru ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Dalam perkembangan berkaitan, Promosi Masakan Perlis yang akan berlangsung sepanjang September 2026 di Melbourne dijadikan platform memperkenalkan warisan kulinari negeri itu kepada masyarakat antarabangsa menerusi pendekatan diplomasi makanan.

Antara hidangan utama yang bakal diketengahkan ialah Kurma Daging Perlis, yang terkenal dengan tekstur daging yang empuk, kuah pekat beraroma serta gabungan rempah-ratus yang memberikan cita rasa tersendiri.

Inisiatif berkenaan turut bertujuan memartabatkan kebudayaan dan seni kulinari Perlis di pentas antarabangsa, selain memberi peluang kepada masyarakat Australia dan komuniti antarabangsa mengenali kepelbagaian warisan makanan negeri itu yang kaya dengan sejarah dan tradisi.

Promosi tersebut mendapat sokongan pengusaha tempatan di Melbourne menerusi Roti Bar, sebuah restoran popular yang diusahakan Chef Ray Ulaganathan dan Julin Tan sejak sembilan tahun lalu. 

Pasangan usahawan itu turut mengendalikan Villas Restaurant serta restoran baharu, Canai, yang menampilkan kepelbagaian masakan Malaysia.

Usaha memperkenalkan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 dan warisan kulinari negeri itu di Melbourne dilihat mencerminkan pendekatan bersepadu dalam memperkukuh promosi pelancongan, budaya dan makanan Perlis di peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan pengenalan terhadap negeri berkenaan sebagai destinasi yang kaya dengan warisan dan identiti tersendiri.

Must Watch Video

Advertisement