KUCHING: Perlis bersedia memperkenalkan 83 gua baharu di sepanjang Banjaran Nakawan sebagai produk ekopelancongan serta destinasi ekspedisi terbaharu negeri itu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penemuan gua oleh Jabatan Perhutanan Perlis itu membuka potensi besar kepada penyelidik serta penggiat aktiviti lasak dari dalam dan luar negara untuk menjalankan ekspedisi speleologi.
Menurut baginda, selain penerokaan gua, keunikan alam semula jadi Perlis turut berpotensi diketengahkan sebagai “gimnasium semula jadi” bagi penganjuran kejohanan mendaki bertaraf antarabangsa.
Antara tarikan utama termasuk fenomena ‘awan karpet’ pada waktu subuh di puncak Wang Kelian serta beberapa lokasi pendakian menarik lain di negeri itu.
Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Cove 55 Hotel, Santubong, di sini, pada Isnin.
Keberangkatan Baginda ke program anjuran hotel berkenaan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Smart Leisure Travels (SLT) disambut Pengurus Besar hotel, Christoph Leonhard, Cef Eksekutif Mario Kesemeyer serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat MyUS, Datuk Nellsen Young.
Turut mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan ke Kuching kali ini bersempena kehadiran ke Rainforest World Music Festival 2026 yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak dari 26 hingga 28 Jun lalu.
Antara kenamaan yang hadir termasuk Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu bersama isteri, Datin Rosemarie Wong; Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Dennis Ngau; Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusof serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Mu’azamir Jili.
Dalam pada itu, promosi berkenaan menampilkan hidangan tradisional negeri Perlis yang mencerminkan keunikan cita rasa dan warisan kulinari negeri tersebut.
Menu istimewa Kurma Daging Perlis sekali lagi diketengahkan sebagai sajian utama, berasaskan resipi tradisi turun-temurun dengan gabungan rempah ratus terpilih yang menghasilkan rasa kaya dan autentik.
Majlis itu turut diadakan bersempena kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, selain menjadi platform mengeratkan hubungan antara rakyat Perlis dan Sarawak serta memperkukuh promosi pelancongan, budaya dan gastronomi negara.