KUALA LUMPUR: Persepsi yang timbul dikalangan rakyat bahawa terdapat campur tangan politik dalam sistem perundangan negara disebabkan perkara tersebut ditimbulkan oleh ahli-ahli politik.

Pengasas Gerakan RAPERA dan Pengamal Undang-Undang, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos menjelaskan perkara ini akan terus berlarutan selagi reformasi sistem kehakiman dan perundangan tidak dilaksanakan.

Jahaberdeen juga berpendapat sistem kehakiman dan perundangan lebih penting berbanding ahli politik yang datang dan pergi.

"Seperti banyak perkara dalam negara ini, the real issue is never address, perkara yang harus dilihat tidak dilihat.

"Apa itu sebenarnya? isu sebenarnya ialah kenapa persepsi seperti ini boleh timbul? persepsi seperti ini timbul kerana tindak tanduk ahli-ahli politik itu sendiri selama 10 hingga 20 tahun.

"Mereka yang memulakan tuduhan-tuduhan kepada pejabat peguam negara dan sistem kehakiman dan sebagainya yang memberi persepsi kepada rakyat bahawa terdapat campur tangan politik dalam sistem perundangan.

"Bagaimana kita nak atasi perkara ini, untuk atasi perkara ini saya syorkan agar kita perlu satu reform, perlu satau jawatankuasa dibuat.

"Banyak kali cadangan ini dibuat, bagaimana reform dilakukan untuk mengasingkan kuasa pendakwaan daripada kuasa peguam negara," katanya.

Beliau menegaskan selagi pertindihan itu terus wujud, tuduhan-tuduhan bahawa ada campurtangan politik akan terus timbul.

Namun, bagi Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia UNSDSN, Universiti Sunway, Prof Dr Wong Chin Huat berpendapat ketidakyakinan orang awam terhadap peguam negara bukan kerana persepsi ahli politik sebaliknya disebabkan fakta kes-kes sebelum ini.

"Kita lihat kes yang paling baru ini, kes pengubahan audit 1MDB digugurkan kerana peguam negara gagal memohon rayuan dalam tempoh yang dibenarkan.

"Kecuaian ini sama ada ia kerana kelemahan keupayaan atau pun kerana kelemahan integriti, tak kira apa unsurnya, ia menghakiskan keyakinan rakyat," katanya.

Jahaberdeen dan Chin Huat berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Isu DNAA yang diberikan mahkamah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuatkan ia menjadi topik perbualan dikalangan rakyat.

Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan ini, namun persepsi yang timbul adalah terdapat campurtangan politik hingga DNAA diberikan terhadap Zahid.

Perdana Menteri menjelaskan, persepsi sebegini timbul kerana kebiasaan yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini.