KUALA LUMPUR: Program pertanian komuniti perlu diperluas terhadap masyarakat setempat di kawasan bandar bagi membantu mengatasi masalah kurang nutrisi dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di kawasan berkenaan.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata langkah itu perlu memandangkan peratusan kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran atau istilahnya bantut di negara ini, termasuk di kawasan bandar akibat masalah kekurangan nutrisi agak tinggi.

"Oleh itu, saya ada mencadangkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin untuk mewujudkan community farming (pertanian komuniti di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak) bagi membantu mengatasi permasalahan ini dengan mencari mana-mana tanah yang boleh diusahakan untuk menanam sayur-sayuran yang mudah tumbuh seperti timun atau bendi.

"Walau bagaimanapun, kita perlu juga melihat kepada pengurusan kerana perlu ada badan yang akan bertanggungjawab kerana kita tidak mahu apabila projek ini dilaksanakan kelak ia hanya 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Community Feeding Bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata di ibu negara, Program Community Feeding telah bermula sejak Disember 2022 dan masih diteruskan sehingga ke hari ini melibatkan seramai 56 kanak-kanak.

"PPR Desa Tun Razak telah dipilih sebagai lokasi bagi pelaksanaan program ini kerana ia merupakan satu daripada pusat kajian oleh pihak Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2018.

"Program intervensi ini merupakan satu program pemakanan yang menyasarkan kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun daripada keluarga miskin bandar dengan menyediakan makanan tambahan (lima kali seminggu) sebagai jaminan kebolehdapatan makanan berkhasiat," katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata semua inisiatif yang telah dirancang dan dilaksanakan kerajaan perlu melibatkan ibu bapa, keluarga, komuniti, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya hasrat negara untuk meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan kanak-kanak dapat dijayakan.

-- BERNAMA