Program Permata Negara (Permata) tidak boleh dipisahkan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana kebanyakan programnya dicipta untuk mengisi jurang percanggahan antara beberapa undang-undang termasuk Akta Pendidikan.

Bagaimanapun Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor berkata, Permata tidak boleh diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan kerana kanak-kanak di bawah umur empat tahun tidak berada dalam bidang kuasa kementerian berkenaan.

"Pada ketika itu, sukatan pelajaran pendidikan pra-sekolah kebangsaan kita hanya disediakan untuk mereka yang berusia empat hingga enam tahun.

"Tetapi pembangunan mental dan emosi kanak-kanak bermula sejak mereka dilahirkan dan ini adalah di mana Permata diwujudkan lalu ia hanya melengkapkan sukatan pelajaran yang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Pusat Permata Kurnia penyelesaian terbaik untuk anak autisme

BACA:
Taska Permata Puspanita perlu diperluas di peringkat daerah - Rosmah

Permata yang dinaungi Datin Seri Rosmah Mansor ditubuhkan kerana isteri perdana menteri itu mahu memberi sumbangan kepada bidang pendidikan awal kanak-kanak yang sebelum ini dilihat kurang mendapat perhatian.

Permata, kata Rizal, bukan satu pembaziran tetapi pelaburan untuk pendidikan kanak-kanak dan hasilnya mungkin tidak dapat dilihat sekarang tetapi dalam tahun-tahun mendatang.

Dalam pada itu jelasnya, walaupun Permata berada di bawah JPM, ia tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan agensi-agensi dan jabatan-jabatan daripada pelbagai kementerian.

"Permata bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) untuk meningkatkan kualiti program awal kanak-kanak tadika terutamanya yang berada di luar bandar.

"Jika Permata tidak diwujudkan, kanak-kanak di bawah umur empat tahun terutamanya di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses terhadap pendidikan berkualiti awal kanak-kanak akan diabaikan.

"Jika tidak ada Permata, hanya kanak-kanak istimewa di kawasan urban yang akan mempunyai akses kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti kerana tadika swasta menggunakan kurikulum antarabangsa," jelasnya.

Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Damansara Utama, Yeo Bee Yin yang mendakwa bahawa kakitangan Permata tidak berpengalaman untuk mengajar pendidikan awal kanak-kanak, ini kata Rizal;

"Kesemua guru-guru di 88 buah pusat Permata di seluruh negara adalah daripada Kementerian Pendidikan.

"Guru-guru tersebut juga dikenali sebagai DG41 iaitu pegawai pendidikan yang telah dilatih secara profesional khusus dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak."