KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 Jan tahun depan untuk mendengar permohonan injunksi Mareva yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.
Permohonan itu sebahagian daripada saman membabitkan barangan mewah bernilai lebih USD346 juta (RM1.41 bilion) yang didakwa diperoleh menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah, yang menetapkan tarikh berkenaan, berkata mahkamah juga akan menyampaikan keputusan berhubung permohonan injunksi itu pada hari yang sama.
Beliau berkata demikian pada prosiding pengurusan kes yang dihadiri peguam Rosmah, Sheena Stephanie Sebastian dan peguam 1MDB, Henna Nikita Sanghvi.
Injunksi Mareva ialah perintah interim mahkamah yang bertujuan menghalang isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu daripada melupuskan aset bernilai USD346 juta, termasuk wang tunai, saham syarikat, hartanah dan aset lain, sementara menunggu saman berkenaan diputuskan.
Pada 9 Mei 2024, 1MDB dan 10 syarikat lain termasuk lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd, memfailkan saman terhadap Rosmah.
Plaintif lain ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Kesemua plaintif memohon perintah mahkamah supaya Rosmah membayar USD346,010,489 atau apa-apa jumlah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Mereka turut memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam merupakan pemilik sah barangan mewah yang didakwa berada dalam milikan Rosmah.
Saman itu pada asalnya difailkan terhadap Rosmah sebagai defendan pertama dan warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani, sebagai defendan kedua.
Bagaimanapun, pada April 2025, kesemua plaintif menarik balik saman terhadap Shabnam.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan berlangsung pada 28 Jun hingga 2 Julai; 5 hingga 9 Julai; dan 19 hingga 30 Julai 2027.
-- BERNAMA