PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk penangguhan tanpa syarat ke atas pembayaran RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas yang berpangkalan di Lubnan, Global Royalty Trading SAL, sementara menunggu rayuannya terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung 43 barang kemas yang hilang.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Amarjeet Singh dan Datuk Aliza Sulaiman, memutuskan bahawa tiada alasan luar biasa yang mewajarkan penangguhan tanpa syarat diberikan.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah, yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membayar kos sebanyak RM30,000.
Rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Jun yang mendapati beliau bertanggungjawab atas kehilangan barang kemas yang didakwa diamanahkan kepadanya, serta mengarahkan beliau membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty dalam tempoh satu bulan, dijadualkan untuk didengar Mahkamah Rayuan pada 25 Mac tahun depan.
Pada 12 Ogos tahun ini, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Marianne Antoinette Ghani membenarkan penangguhan bersyarat bagi jumlah penghakiman tersebut kepada Rosmah. Di bawah perintah itu, Rosmah perlu mendepositkan RM67.5 juta ke dalam akaun pihak berkepentingan bersama, yang diselenggarakan oleh peguam cara bagi kedua-dua pihak dalam tempoh satu bulan.
Semasa prosiding hari ini, peguam Rosmah, Mohamed Reza Abdul Rahim memohon agar mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya untuk penangguhan tanpa syarat ke atas pembayaran jumlah penghakiman tersebut, bagi memelihara integriti rayuan berkenaan.
“Kami hanya memohon penangguhan terhad selama enam bulan, kerana rayuan itu telah ditetapkan pada 25 Mac tahun depan,” katanya.
Beliau mengakui bahawa anak guamnya tidak merayu terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan penangguhan bersyarat itu dan turut mengakui bahawa anak guamnya tidak mematuhi perintah penangguhan bersyarat berkenaan.
Peguam Datuk David Gurupatham, yang dibantu oleh R. Venothani membantah permohonan tersebut, dengan menyatakan bahawa Global Royalty akan kehilangan manfaat penghakimannya memandangkan aset Rosmah telah dibekukan berkaitan dengan saman yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya.
Beliau merujuk kepada afidavit Rosmah yang beliau dakwa hanya mempunyai RM20 dalam satu akaun bank dorman (tidak aktif).
Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan yang mewakili responden pihak ketiga iaitu Ketua Polis Negara dan kerajaan, berkata beliau tiada bantahan terhadap permohonan itu.
Global Royalty memfailkan saman tersebut pada 29 Mac 2023, mendakwa bahawa Rosmah secara palsu menyatakan 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, gelang dan tiara yang dihantar kepadanya oleh ejen syarikat itu, telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat itu mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas tersebut yang disimpan oleh pihak polis, manakala baki 43 lagi tidak berada dalam simpanan mereka. Global Royalty seterusnya menegaskan bahawa Rosmah telah melepaskan tanggungjawab tersebut kepada kerajaan Malaysia sedangkan hakikatnya, barang kemas itu telah hilang.
Pada 10 Jun tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon memerintahkan Rosmah membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty dalam tempoh satu bulan. Rosmah kemudiannya memohon penangguhan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, David memberitahu pihak media bahawa Rosmah telah mengingkari perintah mahkamah dan Global Royalty bersedia untuk menguatkuasakan jumlah penghakiman yang dianugerahkan oleh mahkamah.
-- BERNAMA