MALAYSIA
Permohonan rujuk 8 persoalan undang-undang, bukan untuk kekebalan peribadi - PM Anwar

Anwar berkata beliau tetap komited sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, serta maruah tadbir urus demokrasi - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan permohonannya untuk merujuk lapan persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan, bukan bertujuan mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada semakan undang-undang.
Ringkasan AI
- Anwar Ibrahim menafikan permohonannya bertujuan mendapatkan imuniti: Perdana Menteri menjelaskan bahawa permohonannya untuk merujuk lapan persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan adalah untuk melindungi integriti sistem Perlembagaan, bukan mengelak daripada semakan undang-undang.
- Mahkamah Tinggi menolak permohonan: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan itu kerana persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
- Berkaitan saman sivil terhadap Anwar: Permohonan tersebut berkait dengan saman sivil difailkan oleh bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku tujuh tahun lalu.
"Proses undang-undang akan diteruskan, dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi," kata Perdana Menteri dalam kenyataan pada Rabu.
Kenyataan tersebut menyusul selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada seorang Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Rujukan persoalan undang-undang itu berkaitan saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku tujuh tahun lalu.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.
Perdana Menteri memfailkan permohonan itu pada 23 Mei bagi memohon Mahkamah Tinggi yang mendengar saman tersebut merujuk lapan persoalan undang-undang berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan.
Kes jenayah gagal dibuktikan apabila AGC pada 14 Januari 2020 memaklumkan pihaknya tidak akan membuat pendakwaan terhadap Anwar kerana kekurangan bukti dan percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami