MALAYSIA
"Pernah diugut dan ditawar sogokan, tapi saya pilih untuk lawan" - Syed Saddiq

Syed Saddiq ketika sidang media selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini membebas dan melepaskannya daripada daripada empat pertuduhan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau pernah menerima ugutan dan tawaran sogokan supaya tunduk dalam kes melibatkan dana sayap pemuda Bersatu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), namun memilih untuk terus berjuang demi membersihkan namanya.
Ringkasan AI
- Syed Saddiq mendedahkan pernah diugut dan ditawar sogokan, namun memilih untuk berjuang di mahkamah demi membersihkan nama dan mempertahankan prinsip.
- Beliau menegaskan peletakan jawatannya sebagai Presiden MUDA dibuat atas dasar prinsip, bukan tekanan, dan menyuarakan keperluan Malaysia dipimpin oleh tokoh yang benar-benar bersih.
- Syed Saddiq memohon ruang untuk berehat bersama keluarga selepas bertahun melalui tekanan emosi dan cabaran undang-undang, sambil menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Ada pihak cuba calarkan integriti saya. Ibu saya sampai alami ‘relaps’ kanser kerana tekanan. Saya tolak jalan mudah kerana yakin hanya mahkamah yang mampu bersihkan nama saya,” katanya semasa sidang media selepas Mahkamah Rayuan hari ini membebaskannya daripada empat pertuduhan termasuk pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Menurut Syed Saddiq, beliau memasuki mahkamah pagi tadi dengan persediaan untuk menerima apa juga keputusan, namun mengakui perjalanan lima tahun lalu amat mencabar.
Beliau yang juga bekas Presiden MUDA turut menegaskan peletakan jawatannya baru-baru ini dibuat atas dasar prinsip dan bukannya akibat tekanan mana-mana pihak.
“Malaysia perlukan pemimpin yang benar-benar bersih. Saya letak jawatan kerana itu adalah tindakan yang betul dan bermaruah. Saya akan terus berkhidmat demi rakyat dan negara,” ujarnya.
Syed Saddiq turut memohon sedikit ruang untuk berehat bersama keluarga selepas melalui tempoh yang penuh tekanan.
“Saya mungkin nampak kuat di luar, tetapi hanya Tuhan yang tahu apa yang saya dan keluarga lalui. Saya perlukan sedikit masa untuk bersama mereka,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami