ALOR SETAR: Cubaan rompak tiga lelaki gagal apabila seorang daripada mereka maut selepas dilanggar oleh mangsa di hadapan sebuah farmasi di Kuala Kedah, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam kejadian jam 6.39 pagi itu, mangsa yang berada dalam kereta tiba-tiba didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal untuk merompaknya.

“Salah seorang suspek telah memukul cermin kereta mangsa di bahagian hadapan menggunakan sebatang objek sehingga pecah.

“Akibat ketakutan mangsa terus memecut keretanya. Semasa cuba melepaskan diri, mangsa telah melanggar salah sebuah motosikal suspek yang cuba menghalang di bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Ahmad Shukri berkata, akibat pelanggaran itu, seorang suspek meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya melarikan diri.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan dan mengesan saksi serta suspek yang melarikan diri itu.

Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 dan 393 Kanun Keseksaan.