KUCHING: Perpaduan serta kemakmuran masyarakat di Sarawak merupakan komponen penting dalam membawa negeri itu ke arah pembangunan lebih baik.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata setiap masyarakat di negeri itu termasuk kaum Dayak perlu ikut serta membangunkan ekonomi dan mendapatkan hasil daripada usaha itu.

Justeru, beliau menggesa persatuan Dayak seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) serta Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) untuk menjadi peneraju dalam mengangkat kaum itu ke tahap lebih baik.

"(Sebagai contoh) DCCI perlu memastikan masyarakat Dayak mengambil bahagian dalam peluang ekonomi yang ada di negara ini.

"Dalam era moden ini kita perlu menggunakan teknologi dan tidak lagi boleh menggunakan cara tradisional untuk membangun perniagaan," katanya selepas majlis perasmian bangunan ibu pejabat DCF dan DCCI di sini semalam.

Abang Johari berkata perpaduan di Sarawak juga merupakan contoh terbaik dalam negara malah frasa bahasa Iban 'Segulai Sejalai' yang bermaksud seiring sejalan juga telah dipilih sebagai cogan kata perpaduan negara.

Pada 7 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata 'Segulai Sejalai' akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.

Katanya, beliau tertarik dengan frasa berkenaan menjadi moto dalam majlis sambutan Gawai Dayak peringkat kebangsaan yang dihadirinya di Kuching.

"Maknanya mana-mana saya pergi, bila berbicara soal kesatuan, perpaduan dan bekerjasama, perkuatkan, maka saya akan sebut Segulai Sejalai," kata Anwar ketika berucap di majlis itu.

-- BERNAMA