PUTRAJAYA: Individu dan graduan tempatan yang memiliki persijilan atau pendedahan khusus dalam teknologi reka bentuk cip menerusi program kerjasama dengan Arm Limited berpeluang menikmati gaji permulaan kompetitif sehingga RM5,500 sebulan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata berdasarkan pemantauan terhadap program latihan bersepadu yang dilaksanakan, peserta yang menyertai skim persijilan berkenaan mampu memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM5,500 pada peringkat awal kerjaya mereka.
Menurut beliau, kadar gaji itu adalah lebih tinggi berbanding purata gaji jurutera biasa kerana bidang reka bentuk cip merupakan industri berimpak tinggi yang memerlukan kemahiran khusus.
"Bagi mereka yang mengikuti program Arm dan kursus tambahan di bawah Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC), ada yang menerima gaji permulaan sekitar RM5,000 hingga RM5,500.
"Lebih memberangsangkan, selepas memperoleh pengalaman dua hingga tiga tahun dalam industri, gaji mereka berpotensi meningkat sehingga RM8,000 hingga RM9,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Entiti Diluluskan Di Bawah Kerjasama Strategik Antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited Dalam Industri Semikonduktor, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Akmal berkata Arm Limited menawarkan kursus dalam talian selama 200 jam yang memberi pendedahan asas kepada sistem reka bentuk cip sebelum peserta diserap ke dalam syarikat teknologi berkaitan.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan membangunkan kemahiran kritikal dalam kalangan graduan dan tenaga kerja sedia ada yang ingin meningkatkan kemahiran serta mengkhusus dalam bidang reka bentuk cip bagi memenuhi permintaan pasaran global.
"Kita mahu memastikan wujud rantaian jurutera berkemahiran tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini juga merupakan sebahagian daripada syarat yang kita tetapkan kepada syarikat yang dipilih menerima token teknologi ini," katanya.
Mengenai pembangunan cip tempatan, beliau berkata kerajaan menyasarkan penghasilan produk semikonduktor atau Harta Intelek (IP) pertama menerusi kerjasama Malaysia-Arm menjelang 2030.
"Proses reka bentuk dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun. Dengan syarikat yang telah memulakan fasa reka bentuk ketika ini, kita berharap reka bentuk pertama dapat dihasilkan menjelang 2028 sebelum memasuki fasa pengilangan dan pemasaran sepenuhnya," katanya.