KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya berpegang kepada prinsip berani kerana benar serta tidak menggadaikan integriti demi kepentingan peribadi, pangkat atau imbuhan.
Baginda bertitah, golongan berilmu bakal berdepan pelbagai tekanan dan kepentingan yang bertembung apabila memasuki alam pekerjaan, termasuk arahan yang bercanggah dengan peraturan serta undang-undang.
Titah baginda, mereka mungkin berhadapan situasi diminta memanipulasi angka, menyembunyikan kelemahan projek atau mendiamkan salah laku dan kecuaian demi menjaga kepentingan pihak tertentu.
“Dalam keadaan demikian, insaflah! Bahawa keputusan yang kelihatan kecil boleh membawa akibat yang besar. Satu tanda tangan boleh mengkompromikan keselamatan. Satu angka yang dipalsukan boleh menjejaskan dasar. Satu kecuaian yang disembunyikan boleh meragut nyawa manusia,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyampaikan titah diraja sempena Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-66 di Dewan Tunku Canselor, di sini, pada Selasa.
Turut hadir Pro-pro Canselor UM, Toh Puan Dr Aishah Ong, Tan Sri Zainun Ali dan Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Zarinah Anwar dan Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.
Sultan Nazrin bertitah, keberanian mempertahankan kebenaran perlu berlandaskan ilmu, fakta dan bukti, selain kesediaan menerima teguran serta membetulkan pendirian apabila dikemukakan hujah yang lebih kukuh.
“Kebenaran hendaklah dijadikan asas pendirian, dan keberanian menjadi kekuatan untuk mempertahankan kebenaran berpandukan ilmu. Ilmu membolehkan anda menilai sama ada sesuatu pendirian memiliki asas. Keberanian tanpa ilmu boleh mengundang kesilapan,” titah baginda.
Baginda bertitah keputusan yang kelihatan kecil sebenarnya boleh membawa akibat yang amat besar kepada masyarakat dan negara.
“Sedarilah, di sebalik setiap dasar terjejas kehidupan manusia, di sebalik setiap peruntukan kewangan terdapat keperluan yang menunggu pembelaan dan di sebalik setiap kelewatan terlibat keluarga yang terus menanggung kesusahan,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan bahawa nilai seseorang yang berilmu bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, sebaliknya melalui cara ilmu tersebut digunakan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
“Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar tanggungjawabnya terhadap kebenaran, memastikan perkara yang disampaikan tidak menyimpang dan tidak menyesatkan orang lain,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga universiti atas kejayaan UM melonjak ke kedudukan ke-56 terbaik dunia dalam QS World University Rankings serta tersenarai dalam kelompok 200 terbaik Times Higher Education.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada barisan Pro-Canselor, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor, warga akademik serta petugas pengurusan yang berganding bahu menggemilangkan nama UM sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf dunia.
Seramai 11,842 graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen UM ke-66 yang berlangsung 17 sidang bermula hari ini hingga 26 November melibatkan 771 penerima ijazah Doktor Falsafah (PhD), 5,511 ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 4,350 ijazah Sarjana Muda serta 1,210 penerima Diploma Lanjutan, Diploma Eksekutif dan diploma.
Konvokesyen kali ini turut menyaksikan pengurniaan gelaran Profesor Emeritus kepada empat tokoh akademik iaitu Datuk Prof Dr Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff, Datuk Prof Dr Goh Khean Jin, Prof Dr Abrizah Abdullah dan Prof Dr Fatimah Kari.