NEW DELHI: Pembukaan laluan penerbangan terus, fasilitasi perjalanan bebas visa, eksport minyak sawit dan mekanisme khas bagi mempercepat pelaksanaan perjanjian.
Demikian merupakan tumpuan utama perbincangan dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia Vladimir Putin, malam tadi.
Pertemuan empat mata di Hotel ITC Maurya itu berlangsung sejurus kedua-dua pemimpin tiba di ibu negara India di sini sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18.
Anwar memulakan pertemuan dengan menyampaikan salam peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selain mengulangi jemputan Seri Paduka Baginda kepada Putin untuk mengadakan lawatan negara ke Malaysia.
Menyentuh kesalinghubungan dan sektor pelancongan, Perdana Menteri menegaskan keperluan mempercepat pelaksanaan penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia di samping meneroka kemudahan perjalanan bebas visa bagi memacu pertukaran rakyat ke rakyat serta sektor perniagaan.
"Bagi isu yang telah kita persetujui, kita bergerak sangat pantas. Sebagai contoh, kesalinghubungan udara.
"Pihak kami telah meluluskan semua kebenaran yang diperlukan dan kini menantikan permulaan operasi penerbangan," jelas beliau.
Dalam rundingan perdagangan, kedua-dua pihak turut membincangkan pengukuhan eksport komoditi utama, khususnya peningkatan import minyak sawit Malaysia ke Rusia.
Bagi memastikan segala komitmen dasar diterjemahkan secara efektif, Anwar mencadangkan pembentukan satu mekanisme khas antara Malaysia dan Rusia bagi mempercepat pelaksanaan semua persetujuan dua hala.
Cadangan tersebut dipersetujui sepenuhnya oleh Putin.
Sementara itu, Putin mengalu-alukan kedudukan Malaysia sebagai 'Negara Rakan' (Partner Country) BRICS dan memuji trajektori hubungan kedua-dua negara menjelang sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada 2027.
Perkembangan ini disokong pertumbuhan perdagangan dua hala sebanyak 12.9 peratus tahun lalu.