KUALA LUMPUR: Dua pertuduhan di bawah Akta Syarikat 2016 yang dihadapi Pengarah FGP Ventures Sdn Bhd Khemlani Satesh telah ditarik balik oleh pihak pendakwaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FGP Ventures kedua-dua pertuduhan terhadap Khemlani mengikut Seksyen 43(1) dan Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016, termasuk satu pertuduhan terhadap FGP Ventures di bawah Seksyen 43(1) Akta yang sama telah ditarik balik oleh pendakwaan pada 26 Feb.

Pada 10 Dis lepas FGP Ventures dan Satesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dengan dua pertuduhan setiap satu di bawah Seksyen 43(1) dan 90(4) Akta Syarikat 2016 kerana menawarkan Saham Keutamaan Boleh Tebus Islam (iRPS) bernilai RM15 juta kepada orang ramai antara Ogos 2020 dan Ogos 2021 dan untuk mengumpul iRPS tanpa perlembagaan syarikat.

Bagaimanapun pada 9 Jan lepas FGP Ventures dan pengarahnya telah mengemukakan representasi melalui peguam mereka Muhammad Hasif Ghazali daripada Messrs Masleena, Yee Partners yang telah dipertimbangkan sewajarnya oleh pihak pendakwaan, menurut syarikat itu dalam kenyataan.

FGP Ventures juga menyatakan pada tarikh sama (26 Feb) syarikat itu mengaku bersalah terhadap kesalahan di bawah Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini mengikut Seksyen 90(5) Akta Syarikat 2016 yang telah diselesaikan oleh FGP Ventures Sdn Bhd pada hari yang sama.

"Dalam mengenakan denda itu Hakim Norina Zainol Abidin mengambil kira bahawa ia adalah ketidakpatuhan pertama yang dilakukan oleh FGP Ventures di bawah Akta Syarikat 2016, dan syarikat itu telah membetulkan ketidakpatuhan itu dengan mengemukakan perlembagaan dipinda yang dikhususkan untuk peruntukan iRPS oleh FGP Ventures Sdn Bhd dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA