KUALA LUMPUR: Pendekatan keseluruhan negara perlu segera dilaksanakan bagi menangani krisis perubahan iklim yang semakin meruncing dan kini menjadi ancaman secara langsung terhadap keterjaminan makanan, nyawa, dan daya tahan negara.
Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata negara lagi boleh lagi bertindak balas hanya selepas bencana berkaitan iklim berlaku, memandangkan kekerapan kejadian banjir buruk, cuaca panas melampau, kemarau, dan jerebu yang semakin meningkat.
"Krisis perubahan iklim bukan lagi sekadar isu alam sekitar yang kesannya terpencil. Ia merupakan ancaman secara langsung terhadap nyawa, punca pendapatan, keterjaminan makanan, dan daya tahan negara.
“Malaysia sudah melalui kejadian banjir yang lebih kerap dan buruk, cuaca panas melampau, kemarau, serta fenomena berkaitan iklim yang lain, dan kini masalah jerebu pula. Kita tidak boleh terus bertindak balas hanya selepas bencana berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata rangka kerja bersepadu seluruh negara itu perlu melibatkan dasar iklim, kesiapsiagaan menghadapi bencana, keselamatan makanan, kesihatan awam, pengurusan air, infrastruktur, dan keselamatan komuniti.
Menekankan mengenai keterjaminan makanan sebagai antara yang paling terkesan, beliau memberi amaran bahawa kejutan iklim berisiko menjejaskan pengeluaran beras, sayur-sayuran, ternakan dan hasil perikanan dalam negara.
"Keselamatan makanan wajar diberi perhatian khusus kerana kejutan iklim boleh menjejaskan pengeluaran beras, sayur-sayuran, ternakan dan hasil perikanan kita. Kita mesti segera melabur dalam pertanian yang berdaya tahan terhadap iklim, pengurusan air yang cekap, penyimpanan makanan serta pengeluaran makanan dalam negara yang lebih kukuh," kata Lee.
Beliau seterusnya menggesa supaya penilaian risiko iklim masa hadapan diwajibkan bagi semua projek infrastruktur dan pembangunan utama, di samping langkah perlindungan lebih kukuh bagi pertahanan semula jadi, seperti hutan, tanah lembap dan hutan baka untuk menghadapi banjir, bahang haba serta ancaman kawasan pesisir pantai.
Lee berkata usaha menangani krisis ini melangkaui campur tangan kerajaan, malah memerlukan tindakan kolektif daripada pihak perniagaan, komuniti dan orang ramai.
"Kita mesti bertindak sebelum bencana iklim bertukar menjadi malapetaka iklim. Kos pencegahan dan kesiapsiagaan lebih rendah berbanding kos kehilangan nyawa, punca pendapatan serta keterjaminan makanan kita," katanya.
-- BERNAMA