KLUANG: Peruntukan awal sebanyak RM30 juta diperlukan bagi membaiki jalan rosak dan cerun runtuh akibat banjir di Johor, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata ia melibatkan kerosakan di 29 jalan dan lapan cerun runtuh.

Tiga daerah yang paling terjejas katanya ialah Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dan kerja-kerja pembaikan telah bermula awal minggu ini.

"Antara kerja awalan yang dilakukan sebagai contoh menutup cerun yang runtuh dengan kanvas serta kerja lain yang akan dilaksanakan seberapa segera apabila hujan reda," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan terhadap jalan rosak akibat banjir di Seksyen 71-74, FT050, Jalan Kluang-Mersing, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Abu Bakar Abd Aziz dan Jurutera Daerah JKR Kluang Ir Mohd Zaharudin Ayep.

-- BERNAMA