Peruntukan Parlimen Muar: Mahkamah tolak rayuan Syed Saddiq

Mahkamah Rayuan tolak rayuan Syed Saddiq (foto) dan tiga pengundi Muar untuk mencabar keputusan kerajaan yang menghentikan peruntukan kawasan Parlimen kerana permohonan semakan kehakiman difailkan di luar tempoh yang ditetapkan. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi kawasan itu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan yang memberhentikan peruntukan kawasan Parlimen berkenaan.
Ringkasan AI
- Mahkamah Rayuan menolak rayuan Syed Saddiq dan tiga pengundi Muar untuk mencabar keputusan kerajaan yang menghentikan peruntukan kawasan Parlimen kerana permohonan semakan kehakiman difailkan di luar tempoh yang ditetapkan.
- Panel hakim memutuskan bahawa tarikh keputusan yang dicabar ialah 10 Sept 2023, iaitu ketika MUDA keluar daripada Kerajaan Perpaduan, menjadikan tarikh akhir permohonan pada 10 Dis 2023, namun permohonan hanya difailkan pada 23 April 2024.
- Rayuan ditolak tanpa perintah kos kerana kes melibatkan kepentingan awam, dan Mahkamah Tinggi didapati tidak terkhilaf dalam keputusan asalnya.
Hakim Hashim yang menyampaikan keputusan hari ini berkata pihak perayu berhujah bahawa permohonan telah dibuat dalam tempoh masa dengan mengambil kira surat bertarikh 29 Mac 2024 kepada responden yang kandungannya menyatakan jika surat tersebut tidak dibalas dalam tempoh tujuh hari, perayu menganggap tuntutan untuk mendapatkan peruntukan khas itu ditolak, dengan tempoh tujuh hari tamat pada 5 April 2024.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata pihak responden pula menghujahkan bahawa permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman tersebut serta afidavit sokongan tidak menyatakan secara spesifik tarikh keputusan yang ingin dicabar.
Hakim Hashim berkata pihak responden menghujahkan tarikh sewajarnya bermula pada tarikh MUDA keluar daripada Kerajaan Perpaduan iaitu pada 10 Sept 2023.
"Berkaitan isu ini, kami meneliti afidavit sokongan iaitu perayu menyatakan bahawa selepas MUDA menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan diketuai oleh responden pertama (Perdana Menteri) dan sejurus selepas pengumuman tersebut, akses kepada sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen Muar telah dibatalkan dan baki RM500,000 dan segala projek dimohon dan diluluskan telah dibatalkan," katanya pada prosiding yang berlangsung secara sidang video.
Menurut hakim itu, mahkamah juga berpendapat bahawa pihak perayu mengetahui keputusan telah dibuat berkaitan peruntukan tersebut pada tarikh MUDA keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
"Oleh itu, kami bersetuju dengan hujahan responden bahawa tarikh keputusan ialah pada 10 Sept 2023 iaitu dalam tempoh tiga bulan dan tamat pada 10 Dis 2023.
"Permohonan yang difailkan pada 23 April 2024 adalah jelas di luar batasan. Kami mendapati hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam mencapai keputusan tersebut.
"Memandangkan isu utama telah diputuskan, isu sampingan lain sudah tidak menjadi relevan. Oleh itu keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan dan rayuan adalah ditolak.
"Kami tidak membuat apa-apa perintah mengenai kos memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam," kata hakim itu.
Pada prosiding hari ini, peguam Lim Wei Jiet mewakili ketiga-tiga perayu manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.
Dalam permohonan semakan kehakiman difailkan pada 23 April 2024, Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta, yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bantuan bencana di kawasan Parlimen Muar.
Mereka turut menuntut supaya akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS, yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen dikembalikan, selain pembatalan beberapa projek yang telah diluluskan bernilai RM230,300.
Selain itu, mereka mencabar tindakan responden enggan meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar, bagi program di bawah inisiatif 'Projek Mesra Rakyat' atau program seumpamanya bagi 2024.
Mereka mendakwa bahawa tindakan tersebut menafikan hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (hak kesamarataan).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


