Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar diperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion setahun untuk kerja-kerja baik pulih akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan hakisan pantai, kata Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata peruntukan untuk seluruh negara itu khas untuk kerja-kerja membina benteng hakisan ombak, membina kawasan tebatan banjir, pengairan serta saliran dan membina benteng di cerun-cerun bukit selain beberapa lagi kerja baik pulih akibat bencana alam lain.

"Semua peruntukan ini kita kekalkan dan tidak akan dipotong walaupun kerajaan ketika ini mengambil langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek mencegah hakisan pantai di Pantai Tok Jembal, di sini hari ini.

Beliau berkata selain peruntukan tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran turut diperuntukkan RM1.2 bilion setahun khas untuk kerja-kerja segera mengatasi masalah hakisan pantai seluruh negara.

Menurutnya peruntukan tersebut untuk projek segera yang perlu dilakukan di kawasan yang terjejas teruk akibat hakisan khasnya dalam membina benteng hakisan ombak berdekatan kawasan kediaman dan pembangunan selain projek pembinaan benteng pemecah ombak untuk tempoh jangka panjang.

Untuk projek tebatan banjir di Terengganu, beliau berkata sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran negeri untuk projek pemuliharaan dan menaik taraf Sungai Cepu serta kerja berkaitan di Mukim Telemong (RM15 juta) manakala untuk projek tebatan banjir Kuala Terengganu Utara (RM10 juta).

Wan Junaidi berkata sebanyak RM12 juta pula diperuntukkan untuk projek saliran bandar iaitu sistem saliran mesra alam Gong Kiat Kuala Terengganu (RM7 juta) manakala sistem aliran mesra alam Guntung Luar Setiu (RM5 juta).

Katanya sebanyak RM13 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja segera pembinaan projek pengawalan hakisan Pantai Tanjung Gelam (RM3 juta), Pantai Teluk Lipat Dungun (RM3.5 juta), Pantai Rusilla (RM3 juta), Pantai Bukit Keluang (RM1.5 juta) dan Pantai Kemasik (RM2 juta).

Beliau berkata pihak Jabatan Pengairan dan Saliran telah diarahkan untuk memastikan projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh enam ke tujuh bulan pada tahun ini iaitu sebelum tibanya musim tengkujuh di pantai timur semenanjung.

"Terengganu mempunyai pantai sepanjang 244 kilometer dan semua kawasan adalah berpotensi untuk diancam masalah hakisan akibat daripada ombak laut dan usaha pengawalan hakisan perlu dilakukan segera," katanya.