KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu bagi membantu mangsa yang terkesan banjir Disember lepas.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah peruntukan berkenaan adalah tambahan kepada bantuan segera banjir RM50 juta di negeri ini yang diumumkannya pada Disember tahun lepas.

"Peruntukan awal itu telah diluluskan tetapi mengambil kira keadaan semasa, saya tiada masalah untuk luluskan peruntukan kepada Terengganu.

Untuk malam ini, kita umumkan tambah RM50 juta lagi bagi bantu mangsa banjir," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub serta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam lawatan meninjau bencana di Kelantan pada 21 Dis lepas, Anwar mengumumkan bantuan awal RM50 juta masing-masing bagi Kelantan dan Terengganu yang bertujuan bagi meringankan beban dua negeri berkenaan.

Perdana Menteri berkata beliau mendapat maklumat bahawa peruntukan awal bantuan banjir kepada Terengganu mengalami kelewatan dan beliau telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk memeriksa perkara itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau dan Kerajaan Perpaduan pimpinannya terbuka dan bersetuju dengan saranan Ahmad Samsuri bahawa hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan mesti dalam keadaan baik.

"Sebab itu saya ambil sikap terbuka bahawa hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan mesti baik dan keluhan dan pandangan mereka (kerajaan negeri) diambil kira," katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya menzahirkan harapan agar hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dipertingkatkan sekali gus membolehkan lebih banyak inisitiaf tidak berpihak dan dwipartian dapat diperkenalkan sebagaimana dilaksanakan di negara maju demi kebaikan rakyat.

Beliau berkata kecapikan dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan boleh menyebabkan keluhan masyarakat yang mahukan penyelesaian kepada keadaan getir yang dihadapi tidak dapat ditangani dengan sebaiknya.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri berharap semua perancangan, pembangunan dan penyaluran khas peruntukan yang diterima setiap tahun oleh kerajaan negeri dapat diteruskan mengikut jadual sebagaimana terkandung dalam dokumen Belanjawan 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari lepas.

-- BERNAMA