Keputusan kerajaan menaja penerbangan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan ke Qatar baru-baru ini yang menimbulkan kontroversi, dipertahankan perwakilan UMNO Wilayah Persekutuan, Affendi Zahri.

Affendi ketika membahaskan usul ekonomi yang dibawa perwakilan Kelantan, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata penggunaan jet peribadi oleh Rosmah itu untuk tujuan keselamatan semata-mata.

"Kalaulah apa-apa terjadi kepada tubuh badan dan keselamatan isteri perdana menteri, sudah tentu bebanan emosi kepada perdana menteri kita, " katanya.

Dalam uacapannya itu, Affendi turut mempertahankan keputusan membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan jet peribadi.

"Ini soal masa, tak kan kita nak biarkan PM dan TPM tunggu lama, kalau nak lambat baik guna kereta lembu," katanya disambut gelak ketawa perwakilan.

Affendi ketika membahaskan usul ekonomi itu turut meminta Perdana Menteri supaya menimbangkan cadangan untuk memilih Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikalangan ahli UMNO yang berkelayakan.