ISKANDAR PUTERI: Orang ramai yang mengalami masalah gejala ringan, dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mahmoodiah bagi mengelakkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata waktu operasi klinik berkenaan juga telah dilanjutkan dari 8 pagi sehingga 9 malam berbanding 5 petang.

Beliau berkata lanjutan operasi itu merupakan antara langkah bagi mengatasi masalah kesesakan Zon Kuning dan Zon Merah di JKT HSA, sekali gus mengelakkan Zon Hijau ditutup untuk menampung pesakit daripada kedua zon tersebut.

"HSA adalah hospital paling sibuk di Johor dan JKT secara purata terima pesakit kira-kira 600 orang setiap hari, bayangkan setiap jam kita terima jumlah pesakit yang tinggi.

"Oleh sebab itu, kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melanjutkan waktu perkhidmatan Klinik Kesihatan Mahmoodiah supaya kita boleh ubah hala pesakit tidak berat dirujuk ke klinik tersebut untuk kurangkan beban di JKT," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi kesesakan di JKT HSA.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) 'Menuju Ke Arah Dunia Bebas Daripada Kanser Serviks' di antara Hospital Gleneagles dan Yayasan ROSE, bersempena Kempen Bulan Kesedaran Kanser Serviks di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengarah HSA Dr Sal Atan dilaporkan sebagai berkata Zon Hijau JKT HSA ditutup sementara pada 17 Jan lepas bagi menampung peningkatan pesakit di Zon Kuning dan Zon Merah.

Beliau bagaimanapun berkata perkhidmatan rawatan di Zon Hijau dibuka semula pada 5 petang hari yang sama, meskipun notis pemakluman menyatakan ia ditutup dari 2 petang hingga 9 malam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini turut memberi jaminan bahawa kesesakan pesakit di JKT HSA akan dikurangkan dan menjelaskan penutupan Zon Hijau itu merupakan mekanisme KKM bagi mengurangkan waktu menunggu di JKT.

-- BERNAMA