KUANTAN: Seorang pesara kerugian lebih RM337,000 selepas terperdaya pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulangan tinggi menerusi Facebook, awal tahun ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 61 tahun itu telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum diarahkan membuat beberapa transaksi kewangan.
Advertisement
Beliau berkata mangsa membuat 38 transaksi pemindahan wang ke dalam 16 akaun menggunakan wang simpanan dan gadaian barang kemas bermula 30 Jan hingga 9 Mac 2026.
“Sepanjang tempoh itu, mangsa hanya menerima satu bayaran berjumlah RM392.11 sebelum diminta membuat bayaran tambahan RM210,500 kononnya sebagai caj pengeluaran keuntungan yang membuatnya curiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata segala urusan berkaitan pelaburan termasuk keuntungan hanya dimaklumkan melalui WhatsApp tanpa sebarang platform pelaburan yang sah.
Beliau berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA