Pesara rugi lebih RM535,000 terperdaya tawaran hadiah berlian

Pesara itu telah melakukan 30 transaksi ke 13 akaun berbeza dengan menggunakan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga.
KUANTAN: Pesara sebuah syarikat swasta mengalami kerugian lebih RM535,000 selepas terperdaya dengan tawaran palsu hadiah berlian.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita tempatan berusia 65 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai wakil sebuah syarikat pada 1 Sept lepas.
Beliau berkata individu terbabit memaklumkan mangsa telah memenangi tempat kedua dalam "Jamuan Penghargaan Pelanggan" syarikat berkenaan dan ditawarkan hadiah berupa berlian selain diberi pilihan untuk menukarkannya kepada wang tunai sebanyak RM205,000.
"Mangsa bersetuju memilih wang tunai dan diminta membuat bayaran deposit sebanyak RM6,150 kononnya bagi tujuan penebusan hadiah tersebut. Wanita itu kemudiannya telah mula membuat transaksi dan terus diperdaya suspek yang meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan."Pesara itu telah melakukan 30 transaksi ke 13 akaun berbeza bermula 3 Sept hingga 9 Okt dengan menggunakan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Yahaya berkata mangsa hanya menyedari ditipu setelah tidak menerima sebarang wang tunai seperti dijanjikan.
Beliau berkata wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami